'Bukan Islam boleh pakai seluar pendek di Langkawi - Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi menyangkal dakwaan terdapat larangan terhadap pelancong bukan Islam untuk memakai seluar pendek serta mengambil minuman keras di Langkawi.

ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyangkal dakwaan terdapat larangan terhadap pelancong bukan Islam untuk memakai seluar pendek serta mengambil minuman keras di Langkawi.

Beliau kesal kerana isu yang tidak benar itu dibangkitkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang sepatutnya membantu melonjakkan lagi industri pelancongan termasuk di pulau legenda itu.

Iklan
Iklan

"Tak tahulah kenapa isu ini dibangkitkan, mungkin ada orang 'cucuk' beliau agaknya. Saya bukan nak gaduh dengan menteri, beliau seharusnya datang tengok sendiri, bukannya dengar cakap orang lain.

"Saya jemput menteri itu 'mai' Langkawi pakai seluar pendek sebab beliau bukan Islam, tak ada siapa larang pun,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini sebuah akhbar berbahasa Inggeris memetik kenyataan King Sing berhubung perkara itu di Parlimen yang mendakwa, terdapat kalangan pelancong mengadu kepada Kementerian Pelancongan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai kerajaan tertentu di Langkawi.

Menurut laporan akhbar berkenaan, King Sing dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini mendakwa beberapa pegawai kerajaan dikatakan mengganggu pelancong berhubung etika berpakaian dan pengambilan alkohol.

Iklan

Muhammad Sanusi bagaimanapun mengingatkan pelancong agar menjaga pemakaian dan tidak mengenakan pakaian yang terlalu mencolok mata.

Menurutnya, tindakan King Sing membangkitkan isu tersebut ibarat menongkah arus malah boleh menjejaskan industri pelancongan di pulau tersebut.

"Beliau kan jaga pelancongan tetapi apabila isu itu dibangkitkan akan jejaskan pelancongan. Buat kerja menongkah arus sedangkan perkara itu tak berlaku pun.

"Itu bukan kerja Kementerian Pelancongan. Patutnya 'mai' tengok di Langkawi sebab itulah kerja yang patut dia lakukan, bukan jerkah kastam atau imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu,” ujarnya.

Muhammad Sanusi tegaskan, kebanyakan pelancong datang ke Langkawi untuk menikmati keindahan alam sekitar selain melihat budaya tempatan, bukan kerana minuman keras.

"Jangan buat isu yang tak ada faedah, merugikan. Beliau jaga pelancongan kenalah datang tengok sendiri suasana Langkawi. Nak pakai seluar pendek panjang mana pun ikut suka dia kalau ada saiz lah,” ujarnya sinis.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memajukan sektor pelancongan termasuk di tanah besar dalam mempromosikan tempat-tempat menarik.

"Bukan Langkawi saja kita bagi tumpuan, tanah besar ada Gunung Jerai, sawah padi, muzium padi, muzium negeri. Banyak hot spot yang boleh dipasarkan dalam sektor pelancongan di tanah besar,” ujarnya.