SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz bersedia untuk dikenakan hukuman mengikut peraturan Dewan Rakyat jika terbukti bersalah seperti dakwaan tular beliau menghisap rokok elektronik (vape) di Parlimen pada 19 September lalu.
Ikmal Hisham berkata, beliau akan memberikan kerjasama penuh dalam proses menyelidik insiden berkenaan.
Menurutnya, beliau telah menyerahkan memo penjelasan berkenaan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin di Parlimen pada jam 3 petang hari ini.
"Pada 21 September lalu, saya telah menerima satu surat daripada Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat yang meminta penjelasan mengenai kejadian menghisap vape di dalam dewan rakyat pada 19 September.
"Menerusi memo berkenaan, saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya tidak menghisap vape kerana saya bukan perokok. Ketika itu, saya hanya pegang sebatang pen yang diletakkan pada bibir secara spontan, namun telah disalahertikan.
"Saya juga memohon jasa baik Yang Berhormat Tan Sri Datuk Johari Abdul untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan membersihkan nama saya sebagai ahli Parlimen.
"Jika terbukti benar saya melakukan perbuatan yang menyalahi peraturan mesyuarat, Yang Berhormat Tan Sri (Johari) boleh mengambil tindakan tegas dan hukuman paling berat mengikut peraturan Dewan Rakyat untuk dikenakan kepada saya,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Sebelum ini, tular di media sosial apabila jurugambar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Sadiq Asyraf memuat naik imej itu di laman sosial, X dengan keterangan ‘betul-betul koyak terus tarik vape sambil keluar dewan’.
Rentetan itu, Ikmal Hisham memberitahu bahawa pihaknya telah menerima satu surat daripada Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat pada 21 September lalu yang meminta penjelasan mengenai insiden berkenaan.
Ikmal Hisham berkata, dalam memo berkenaan juga beliau turut meminta Sadiq Asyraf untuk mengemukakan keseluruhan gambar yang telah diambil di dalam Parlimen.
"Mustahil sebagai seorang jurugambar, dia mengambil sekeping foto sahaja. Jadi adalah lebih baik jika dia mengemukakan kesemua gambar yang ambil bagi membuktikan sama ada benar atau tidak saya menghisap vape.
"Jika tuduhan dia (Sadiq Asyraf) itu tidak benar, maka saya mohon Speaker mengambil tindakan ke atasnya di bawah Peraturan Mesyuarat 98," tegasnya.