Mahkamah tolak permohonan Datuk Seri berkait rasuah RM15 juta

Iklan
Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Rabu menolak permohonan Choo Thiam untuk dilepas tanpa dibebaskan daripada empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah KDN.

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menolak permohonan seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri untuk dilepas tanpa dibebaskan daripada empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Hakim Rozina Ayob memutuskan demikian selepas mendapati pertuduhan tersebut boleh diperbaiki dan tidak memprejudiskan Datuk Seri Sim Choo Thiam, 53, selaku pemohon.

Iklan
Iklan

"Selepas meneliti segala kertas kausa, permohonan pemohon (Choo Thiam) untuk mengetepikan empat pertuduhan ditolak,” katanya.

Mahkamah juga menolak permohonan pemohon supaya pendakwa raya selaku responden menyerahkan kepadanya pernyataan bertulis fakta yang memihak kepada pembelaan.

Iklan

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad manakala peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Choo Thiam.

Choo Thiam yang memfailkan permohonan itu pada 4 Julai lepas, memohon supaya beliau dilepas tanpa dibebaskan daripada kesemua pertuduhan itu kerana pendakwa raya telah melanggar kewajipan statutori mereka di bawah Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan siasatan kes itu tidak lengkap.

Iklan

Menurut Choo Thiam, fakta yang memihak kepada pembelaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hanya merekodkan kenyataan bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin pada petang 10 Mei, selepas beliau didakwa pada hari yang sama.

Perbicaraan kes itu telah ditetapkan selama 10 hari bermula 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Mei 2024 dan pihak pendakwaan akan memanggil 20 saksi untuk memberi keterangan.

Choo Thiam didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam, Hamzah yang ketika itu Menteri Dalam Negeri, membantu Asia Coding Centre untuk mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN.

Choo Thiam juga berdepan tiga lagi pertuduhan menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama (Kim Hong), sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Shaas Holdings dan di kawasan letak kereta di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1 di sini antara Jun 2021 dan 30 Julai 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama