SELINSING - Permintaan tinggi di pasaran luar negara terutama negara Asia Timur terhadap tanaman cendawan jenis Volverella mencetuskan idea syarikat bumiputera, SRG Agro Berhad menjalinkan kerjasama pertanian kontrak dengan 2,000 peserta dari seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Shah Radzi, 39, berkata ini kerana cendawan tersebut boleh menghasilkan produk hiliran seperti teh, burger dan perisa makanan berasaskan cendawan itu.
Menurutnya, setakat ini lima negeri iaitu Perak, Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Kelantan membabitkan 2,000 peserta berminat untuk memajukan tanaman itu.
"Kita telah mengumpul peserta dalam tempoh empat bulan dengan penyertaan golongan belia dan warga emas yang mahu mengusahakan tanaman itu.
"Cendawan Volverella adalah jenis cendarawan hibrid dibangunkan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim(Mestecc) yang menggunakan kaedah pembiakan tisu kultur untuk dijadikan benih.
"Cendawan jenis ini mudah ditanam di atas batas dan tandan kelapa sawit kerana kesukaran untuk mendapatkan habuk kayu dan ia mudah membiak dalam tempoh dua minggu bagi mendapatkan hasilnya,” katanya kepada media ketika ditemui pada Program Usahawan Ladang Kontrak di Selinsing dekat sini hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Exco Kemudahan Awam, Infrustruktur, Pertanian dan Perladangan Perak Abdul Yunus Jamhari dan turut dihadiri Pengurus Besar SRG Agro Berhad, Muhammad Muammar Osman.
Shah berkata, pihaknya memperuntukkan RM1.5 juta bagi fasa pertama tanaman ini dengan setiap negeri akan membabitkan 400 hingga 500 peserta yang akan menjalankan tanaman itu secara bersama.
Menurut beliau syarikat akan memberikan dana sebanyak RM5,000 untuk setiap peserta menjalani kursus, benih dan tapak bagi mengusahakan tanaman berkenaan membabitkan sembilan fasa.
"Hasil tanaman itu kita akan beli daripada usahawan dengan harga dipersetujui dan usahawan perlu menandatangani perjanjian selama lima tahun dengan kita.
"Usahawan terbabit boleh memperoleh pendapatan RM2,400 sebulan dan mereka tidak dibenarkan menjual cendawan itu kepada orang tengah," katanya.
Sementara itu, Muhammad Muammar menegaskan SRG Agro Berhad sedang berusaha mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengenal pasti mana-mana tanah kerajaan terbiar untuk dijalankan projek tanaman cendawan Volverella bersama komuniti usahawan tempatan berpotensi.
Menurutnya, sehingga kini, sejumlah 19 lokasi tanah terbiar di Perak sudah dikenal pasti pihaknya untuk dimajukan termasuk sebidang tanah berhadapan projek pembinaan hospital baharu Parit Buntar di Simpang Lima, Parit Buntar.
"Kami mengharapkan kerajaan negeri dapat memberi sokongan padu terhadap usaha ini memandangkan tanaman cendawan volverella adalah tanaman tempoh singkat dan sangat bersesuaian dijalankan di lokasi tanah tidak begitu luas.
"Bila tanaman ini dilaksanakan secara ladang bersepadu, secara tidak langsung ianya boleh menjana ekonomi penduduk setempat menerusi industri agro pelancongan untuk daerah Kerian pada masa hadapan," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Yunus sewaktu ditemui menyambut baik usaha SRG Agro Berhad untuk membantu kerajaan negeri memperkasakan industri pertanian negeri Perak, sekaligus menjana peluang pekerjaan lumayan kepada golongan belia dan penduduk luar bandar.
Menurutnya, pihaknya turut menyambut baik saranan kerajaan pusat supaya tanah kerajaan terbiar dibangunkan untuk kegiatan pertanian dan bersedia untuk berbincang lebih lanjut dengan mana-mana pihak yang serius untuk memajukannya demi kepentingan ekonomi rakyat.
Sinar Harian berkesempatan menemubual salah seorang wakil peserta dari Sungai Dua, Butterworth, Abdul Fatah Mahamud, 66, yang menyifatkan inisiatif program pertanian secara kontrak dianjurkan SRG Agro Berhad sangat baik untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk luar bandar sepertinya.
Ketua kampung Simpang Empat Selinsing, Abdul Halil Abu Bakar,48, pula menyifatkan inisiatif penanaman cendawan Volverella ini mampu mengubah nasib penduduk luar bandar menjadi lebih baik kerana bersifat lebih praktikal dan mempunyai ruang pasaran lebih luas.
"Dengan harga pasaran mencecah lebih RM16 sekilogram, cendawan Volverella merupakan satu alternatif kegiatan pertanian terbaik penduduk kampung untuk meraih pendapatan sampingan selain hasil pertanian padi dan kelapa sawit," katanya.