Jadikan Rukun Negara mukadimah Perlembagaan - Rais

Iklan
Rais Yatim

SHAH ALAM - Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Rais Yatim mengesyorkan agar Rukun Negara dijadikan sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, langkah tersebut perlu dilakukan kerana negara ini masih tiada asas perundangan yang berpaksikan prinsip kenegaraan tinggi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sekurang-kurangnya Rukun Negara yang berusia 53 tahun itu beroleh tempat tertinggi dalam Perlembagaan tanah air.

"Rukun Negara selama ini hanya bersifat sebagai penyeri majlis-majlis rasmi tahunan selain penghias kulit buku teks dan mural sekolah.

Iklan

"Ia tidak diamalkan dalam bentuk program-program asuhan dan latihan bagi ahli-ahli politik, guru, tenaga pengajar institusi pengajian tinggi serta sektor swasta yang nampak bebas dari pemangkinan nilai hidup," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Rais turut menzahirkan kebimbangan terhadap perpecahan tenaga dan semangat nasional dalam kalangan orang Melayu.

Iklan

"Amat ketara, perjuangan bangsa Melayu hari ini lebih mementingkan siapa jadi Perdana Menteri daripada pentingnya semua parti politik Melayu bersatu mengukuhkan ukhuwah dan tenaga sekutu.

"Berbeza dengan masyarakat Cina yang tampak sekutu di bawah DAP yang beroleh 40 kerusi Dewan Rakyat dan 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus mengalahkan capaian parti-parti Melayu," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyangkal pengumuman beberapa pihak kononnya rakyat tidak lagi boleh berbahas isu berkenaan 3R (agama, raja, kaum).

"Asalkan jangan menghasut atau melanggar Akta Hasutan, 3R itu harus terus diperkatakan kerana ia adalah intisari perjuangan rakyat, khasnya orang Melayu selama ini.

"Selagi akta itu tidak dipinda oleh Parlimen, selama itulah 3R boleh dibahaskan. Lagipun, katanya cadangan larangan 3R itu bukan diutarakan oleh pemimpin diraja," katanya.

Rais berpendapat subjek Perlembagaan tanah air wajib diajar sebagai bahan ilmu sampingan di dalam kurikulum persekolahan menengah serta kolej dan Universiti.