BENTONG - Menjadikan Pelangai sebagai pintu gerbang (gateway) ke Pahang merupakan antara impian calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam, untuk meningkatkan taraf sosioeknonomi masyarakat setempat.
Beliau berkata, ini kerana Pelangai mempunyai potensi yang luas, untuk dipromosikan sebagai sebuah pusat agropelancongan dan tempat hentian bagi mereka yang melalui kawasan itu, untuk ke pantai timur atau selatan tanah air.
"Sepanjang perjalanan dari Karak masuk ke Pelangai memang ada pelbagai produk...kita di sini ada durian Telemong. Orang kata durian dari Raub yang sedap, tetapi kalau cuba makan percayalah durian Telemong lagi power.
"Kita juga ada banyak inap desa dan ladang-ladang cantik yang ada pemandangan cantik, boleh healing...waktu pagi kawasan ini sangat sejuk, memang nyaman,” katanya kepada Bernama.
Amizar berkata, idea menjadikan Pelangai sebagai pintu gerbang ke Pahang, tercetus hasil perbincangannya dengan penyandang DUN Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, tidak lama sebelum nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas yang mengorbankan Johari.
"Arwah dah bagi satu pelan tindakan yang jelas...bagi dia Pelangai ini ialah pintu masuk dan keluar ke beberapa negeri. Jadi saya nak tambah nilai daripada itu. Pelangai Gateway merupakan impian saya. Kita mesti ada satu benda yang istimewa untuk bawa masuk orang datang ke Pelangai,” kata Amizar.
Beliau berkata, sekiranya idea itu dapat dilaksanakan, ia juga akan mengalakkan pembangunan infrastruktur di sini.
Amizar berkata, ‘Pelangai Gateway’ akan menjadi satu ‘jenama’ yang besar, yang juga berpotensi memberi suntikan kepada ekonomi setempat, hasil aktiviti jual beli atau penyediaan perkhidmatan oleh masyarakat tempatan.
Pelangai mendapat jolokan ‘penghujung Pahang’ kerana kedudukannya yang bersempadan dengan Negeri Sembilan di barat Pahang.
PRK yang akan berlangsung pada 7 Oktober ini, menyaksikan Amizar berdepan pertandingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli. - Bernama