BEIJING - Parlimen Malaysia sebagai bidang kuasa legislatif turut mempunyai peranan besar dalam memperkukuh dan menyuburkan hubungan diplomasi Malaysia dengan negara luar, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Membawa konsep ‘Parlimen Diplomasi,’ Johari berkata, Parlimen Malaysia memikul tanggungjawab untuk menyokong apa juga usaha yang dilakukan oleh Eksekutif atau Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh hubungan diplomasi sekali gus dapat melonjakkan pembangunan, martabat dan ekonomi negara.
Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah dua kali berkunjung ke China pada tahun ini dan lawatan delegasi legislatif negara ke republik itu juga merupakan isyarat penting bahawa hubungan diplomasi Malaysia-China amat baik.
"Parlimen Diplomasi bermaksud Parlimen ambil tanggungjawab untuk sokong apa jua usaha yang dilakukan Eksekutif dan dalam kes ini, lawatan ke China.
"Kalau PM sudah laksanakan tugas beliau dengan baik sebagai 'jurujual' dengan ‘jual’ kelebihan perdagangan kita, 'jual' suasana harmoni negara... saya fikir kita harus bantu beliau kukuh kedudukan itu.
Johari, yang mengetuai delegasi Parlimen Malaysia, menamatkan lawatan rasmi ke republik itu atas undangan rakan sejawatnya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) ke-14 Zhao Leji, pada Rabu.
Semasa lawatan sejak 23 September itu, beliau mengadakan pertemuan dua hala bersama Zhao, Pengerusi Persidangan Konsultatif Politik Rakyat China (CPPCC) Wang Huning dan Presiden China Xi Jinping selain menghadiri majlis pembukaan Sukan Asia Hangzhou 2023 serta melawat beberapa syarikat besar di negara itu dalam bidang teknologi, tenaga boleh diperbaharui, pertanian dan kecerdasan buatan (AI).
Johari juga berkata, lawatan delegasi legistatif ke Beijing amat signifikan kerana menonjolkan keutuhan hubungan diplomasi dengan China yang terjalin sejak 50 tahun lepas.
"Hubungan baik kita dengan China telah berlaku bukan sehari dua tapi sudah lama dan tahun depan kita akan meraikan sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik China-Malaysia.
"Dengan dua kali lawatan PM dalam tempoh terdekat baru-baru dan jemputan Kerajaan China kepada saya ini beri isyarat bahawa kepada China, kita memang serius dalam hubungan ini,” katanya.
Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat itu, kerjasama diplomatik kedua-dua negara juga penting untuk pertukaran teknologi selain memastikan Malaysia di landasan tepat bagi mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN pada 2025.
Beliau berkata, penting untuk Malaysia belajar dari negara lain khususnya China dan membuat acuan kepimpinan tersendiri untuk menerajui serta membawa ASEAN ke tahap lebih baik.
Katanya, dalam gelombang kebangkitan ekonomi di ASEAN dan rantau Asia pada abad ke-21 ini, Malaysia perlu memastikan hubungan diplomatik dengan negara serantau kukuh serta bergerak seiring agar tidak ketinggalan.
Delegasi Malaysia disertai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakya,t Alice Lau Kiong Yeng; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, M Kulasegaran; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi, Datuk Awang Hashim dan Ahli Kumpulan Parlimen Rentas Parti Malaysia-Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG), Chiew Choon Man. - Bernama