Pecut laju lawan arus elak 'roadblock'

Iklan
Seorang penunggang motosikal bertindak memecut laju motosikalnya semasa pemeriksaan Op Sepadu di Plaza Tol Sentul Pasar, Kuala Lumpur pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Seorang penunggang motosikal sanggup memecut laju dengan melawan arus semasa Op Sepadu di Plaza Tol Sentul Pasar di sini pada Rabu.

Penunggang Yamaha Y15 itu ditahan oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lesen dan cukai jalan, kira-kira jam 4.20 petang sebelum meloloskan diri.

Iklan
Iklan

Tindakan berbahaya lelaki itu dilihat hampir melanggar anggota operasi.

Antara motosikal yang disita JPJ Kuala Lumpur menerusi Op Sepadu di Plaza Tol Sentul Pasar, Kuala Lumpur pada Rabu.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, tindakan menunggang motosikal secara melawan arus ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri, tetapi pengguna jalan raya lain juga.

Iklan

"Kebanyakan penunggang lawan arus ini kerana mereka tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh.

"Sekiranya ditahan, usah bertindak sedemikian yang membahayakan nyawa. Nyawa itu tidak boleh ditukar ganti berbanding dengan hanya membayar kompaun," katanya ketika ditemui pemberita semasa Op Sepadu di sini pada Rabu.

Iklan

Operasi itu turut melibatkan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur.

Beliau berkata, dalam operasi itu, sebanyak 3,215 motosikal diperiksa dan 343 telah diambil tindakan.

Mohd Zaki (kiri) menjalankan pemeriksaan ke atas penunggang motosikal semasa Op Sepadu di Plaza Tol Sentul Pasar, Kuala Lumpur pada Rabu.

Ujarnya, sebanyak 19 motosikal antaranya jenis Honda EX5, Yamaha 135LC dan Yamaha NVX telah disita selain 511 saman dikeluarkan.

"Tiada lesen kesalahan paling tinggi iaitu 220 kes diikuti cukai jalan (103) dan insurans (98)," katanya.

Tambahnya, tindakan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1986 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya khususnya kesalahan yang menjadi punca utama kemalangan maut.