Tiada kenaikan harga dikesan

Iklan
Omar (kanan) berbual dengan peniaga ketika Operasi Bersepadu bersama KPDNHEP Kedah di Bazar Stadium Darul Aman, di sini hari ini.

ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) Kedah tidak mengesan kenaikan harga makanan dan minuman di Bazar Ramadan Jalan Stadium, di sini hari ini.

Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Kedah, Omar Ismail berkata, pemeriksaan melibatkan lebih 50 anggota termasuklah KPDNHEP Kedah, SwCorp Kedah dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berkenaan membabitkan sebanyak 300 gerai makanan dan minuman di bazar itu.

Iklan
Iklan

Omar berkata, pemeriksaan mendapati kebanyakan peniaga didapati menjual makanan dan minuman pada harga lebih kurang sama dan terkawal seperti tahun lepas.

"Sebagai contohnya, sebahagian besar harga kuih muih didapati dijual pada kadar hampir sama seperti sebelum ini kecuali dari jenis makanan laut ada kenaikan kerana bergantung faktor tertentu hingga peniaga terpaksa membuat sedikit perubahan mengikut harga bersesuaian.

Iklan

"Kita mendapati sebahagian peniaga juga mematuhi peraturan KPDNHEP dengan mempamerkan tanda harga pada makanan dan minuman dijual masing-masing," katanya pada sidang media selepas Operasi Bersepadu bersama KPDNHEP Kedah di Bazar Stadium Darul Aman, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Omar berkata, tiada notis dikeluarkan ke atas peniaga setakat ini kerana pemeriksaan kali pertama ini lebih kepada menasihatkan mereka demi memudahkan pengguna membuat pilihan.

Iklan

Katanya, peniaga berkemungkinan akan dikenakan tindakan jikalau masih berdegil dengan gagal mempamerkan harga makanan dan minuman seperti ditetapkan selepas ini.

Menurut Omar, pengguna turut dinasihatkan supaya tawar-menawar dengan peniaga ketika membeli makanan dan minuman, sekali gus bijak memilih makanan berkualiti dan berpatutan.

Dalam perkembangan sama, katanya, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan makanan dan minuman yang dijual pada harga tidak relevan.

Dalam perkembangan lain, kata Omar, pihaknya menasihatkan semua peniaga termasuklah peniaga bermusim menjual daging tempatan mengikut harga semasa.

"Sehingga kini, kita belum menerima laporan kenaikan harga daging tempatan sekitar RM34 sekilogram, sekali gus meminta mereka mengekalkan harga dan tidak mengambil kesempatan menaikan harga.

Sementara itu, Pengarah SWCorp Kedah, Zaidi Tuah berkata, tahap kebersihan di bazar ramadan itu di tahap memuaskan apabila rata-rata peniaga menggunakan bungkusan plastik.

Zaidi berkata,semua peniaga diingatkan terus menjaga kebersihan kawasan bazar ramadan berkenaan.