Parlimen belia dirombak, lahirkan generasi pemimpin berkualiti - Johari

Iklan
Johari melawat dan menyampaikan syarahan umum kepada penuntut Malaysia di Universiti Tsinghua Beijing China pada Rabu. - Foto Bernama

BEIJING - Parlimen Belia Malaysia akan dirombak sebagai langkah menambah baik program itu selepas ia dikembalikan kepada Parlimen Malaysia tahun depan, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Beliau berkata, penambahbaikan itu bagi menjadikan Parlimen Belia sebagai ‘inkubator’ dalam melahirkan generasi pemimpin berkualiti bukan sahaja di bidang politik dan pentadbiran malah pelbagai sektor seperti ekonomi, pertanian dan teknologi.

Iklan
Iklan

Johari berkata, program itu, yang kini di bawah penyelarasan Kementerian Belia dan Sukan akan dikembalikan kepada Parlimen dan antara rombakan yang bakal dilakukan ialah menurunkan had umur keahlian kepada 16 tahun.

"Kita mahu membuka ruang seluas-luasnya kepada belia tempatan untuk dilatih menjadi pemimpin masa depan, baik sebagai wakil rakyat atau dalam pelbagai bidang,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama sempena lawatan rasmi beliau ke Beijing, China.

Iklan

Johari, yang mengetuai delegasi Parlimen Malaysia, menamatkan lawatan rasmi ke republik itu atas undangan rakan sejawatnya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) ke-14 Zhao Leji, pada Rabu.

Semasa lawatan sejak 23 September itu, beliau mengadakan pertemuan dua hala bersama Zhao, Pengerusi Persidangan Konsultatif Politik Rakyat China (CPPCC), Wang Huning dan Presiden China, Xi Jinping selain menghadiri majlis pembukaan Sukan Asia Hangzhou 2023 serta melawat beberapa syarikat besar di negara itu dalam bidang teknologi, tenaga boleh diperbaharui, pertanian dan kecerdasan buatan (AI).

Iklan

Johari juga berkata, Parlimen Malaysia, menerusi perbincangan Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan, berhasrat mengembalikan program seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) yang dimansuhkan sebelum ini bagi menyemai semangat patriotisme dalam diri rakyat serta kemenjadian insan.

"Jawatankuasa pilihan khas itu melihat anak muda dahagakan pendedahan kepada politik serta penglibatan mereka dalam pembangunan negara dan sedang bergerak untuk meminta kerajaan mengembalikan program seperti PLKN untuk kita himpun dan menjadi platfrom anak muda berbincang soal masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata, adalah penting untuk mempersiap generasi muda dengan sifat kepimpinan berkualiti agar negara bersedia dan mampu bergerak seiring dengan perubahan ekonomi yang semakin tertumpu di rantau ASEAN. - Bernama