HUAWEI bersedia memanfaatkan keupayaan teknikal, industri dan ekosistemnya untuk meningkatkan rangkaian 5G, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga digital negara dalam membina Malaysia yang inovatif dan hijau secara digital.
Presiden Huawei Asia Pasifik, Simon Lin berkata, Huawei komited untuk menjadi rakan kongsi dalam membantu Malaysia meneruskan agenda pendigitalan dan neutraliti karbonnya.
"Selain itu, kami akan menggunakan tenaga kerja mahir di negara ini agar profesional tempatan dalam bidang ini dapat dilahirkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutup Sidang Kemuncak Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) 2023 anjuran Huawei Technology Sdn Bhd di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Rabu.
"Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatannya ke China, Malaysia berazam untuk mencapai Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dalam tempoh tujuh tahun dan untuk mencapai matlamat ini, pelaburan sekitar RM95 bilion akan diperlukan.
"Pelaburan ini akan membawa pulangan luar biasa kepada ekonomi digital Malaysia. Menjelang 2025, sektor ini mungkin menyumbang lebih daripada 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara, melebihi RM382.0 bilion," ujarnya.
Simon berkata, pendigitalan akan menyokong Malaysia dalam meningkatkan bahagian tenaga boleh diperbaharui dalam kapasiti terpasangnya kepada 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2035, sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju neutral karbon 2050nya.
Sidang Kemuncak yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan untuk mempromosikan inovasi teknologi maklumat dan pembangunan infrastruktur sambil membawa lebih banyak peluang untuk pertumbuhan ekonomi digital Malaysia yang mampan.
Lebih 300 profesional industri, peneraju perusahaan dan rakan kongsi ekosistem daripada pelbagai segmen dalam industri teknologi maklumat hadir pada sidang kemuncak berkenaan.
Sementara itu Anwar yang hadir merasmikan upacara penutup sidang kemuncak itu berkata, transformasi digital memerlukan minda, sikap dan kesediaan baharu, bukan sahaja untuk belajar tetapi juga untuk berkongsi dan rentak itu mesti berubah.
Beliau berkata, kerajaan perlu bertindak balas sewajarnya bukan sahaja melalui transformasi digital tetapi untuk memastikan terdapat kemudahan menjalankan perniagaan dan prinsip yang jelas dalam dasar.
"Perkara ini jelas dinyatakan dalam Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu dan juga kajian separuh penggal kami terhadap Rancangan Malaysia Ke-12," katanya.
Anwar menegaskan kerajaan telah mengambil keputusan berani untuk memastikan negara mendapat manfaat daripada perubahan, kemajuan dan pembangunan yang luar biasa dalam industri teknologi maklumat.