EMPAT penjual barang kemas di Pulau Pinang antara penyumbang jualan tertinggi strim langsung Shopee di negara ini bagi tempoh 12 bulan lalu.
Menurut kenyataan Shopee, jualan barangan tersebut menyumbang kepada RM1.5 juta di Wilayah Utara Malaysia.
"Ia diikuti dengan Wilayah Tengah Malaysia yang mencatatkan RM1.2 juta barangan terjual di Shopee Live.
"Pantai timur merupakan rantau paling aktif dengan 30 peratus strim langsung dijalankan oleh penjual di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
"Kesemua negeri kecuali Johor mempunyai penjual strim langsung yang menjual barangan ‘bundle’ atau terpakai,” katanya pada Rabu.
Menurutnya, separuh daripada barangan terjual adalah produk fesyen seperti pakaian baharu dan terpakai, produk wangian serta kecantikan.
Sementara itu, peniaga dalam talian, Lulu Waniey berkata, sebelum ini pendapatannya kurang daripada RM100 sewaktu berniaga di pasar malam dan pasar tani, namun di platform Shopee Live perniagaannya berkembang maju sehingga mengaut keuntungan sebanyak RM100,000 sebulan dengan menjual pakaian Muslimah setiap hari.
"Jadual meniaga yang fleksibel membolehkan saya berhubung dengan pelanggan pada waktu optimal membeli-belah dan ia mampu mengurangkan kos dengan tidak perlu menanggung sewa kedai.
"Perniagaan 100 peratus di Shopee Live membuatkan saya lebih yakin untuk bercakap dengan ramai orang dan berasa seperti mempunyai kedai besar yang mana pelanggan tertunggu-tunggu untuk menonton siaran saya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, menurut pemilik akaun perniagaan Zhi Wei Herb di Shopee Live, Ooi Zhi Wei, interaksi bersama pelanggan dapat memberitahu perincian produk kepada pembeli dan memastikan ketelusan barang yang dijual setiap kali strim berlangsung.
"Produk yang saya tunjukkan di dalam Shopee Live adalah sama dengan apa yang pelanggan akan terima, jadi saya menunjukkan demonstrasi dengan lebih terperinci.
"Saya boleh menjawab soalan-soalan yang mereka ajukan dengan cepat dan mudah,” katanya yang menjual herba dan kacang Gred A bernutrisi.