Pengundi Pelangai tak sudi dilaga-lagakan

Iklan
Bahang kempen PRK DUN Pelangai, Bentong sudah dirasai apabila gelanggangnya mula dibuka secara rasmi pada Sabtu lalu.

BAHANG kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Bentong sudah dirasai apabila gelanggangnya mula dibuka secara rasmi pada Sabtu lalu.

Hari mengundi yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 7 Oktober ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam menentang calon bebas Haslihelmy DM Zulhasli dan Kasim Samat daripada Perikatan Nasional (PN).

Iklan
Iklan

Dapat dilihat pemimpin politik daripada parti besar yang bertanding agresif menjaja cerita bagi menawan hati pengundi bahawa parti merekalah yang terbaik dan mampu memberi khidmat cemerlang.

Dalam tempoh berkempen, pastinya pelbagai ceramah secara lisan diadakan merata kawasan, selain pertemuan dengan masyarakat di premis-premis perniagaan dan kediaman serta ceruk kampung turut dilakukan.

Iklan

Oleh itu, dalam keghairahan berkempen, calon seharusnya mengamalkan kejujuran dan menjauhi penipuan demi menambat hati pengundi meraih undi yang banyak.

Ketika penulis berada di Pelangai dan berjumpa dengan penduduk setempat termasuk di tanah rancangan Felda dalam DUN terbabit, sifat ramah mesra mereka jelas dirasai.

Iklan

Keakraban mereka dapat dilihat apabila penduduk berlainan parti boleh duduk semeja sambil makan, minum dan bergelak ketawa serta suasana keharmonian di situ terserlah.

Sejak pentas pertandingan dibuka, suara-suara rungutan dan kegusaran mereka tentang keharmonian mula kedengaran dengan kehadiran pemimpin parti politik di Pelangai bagi tujuan berkempen, sekali gus boleh membawa aura negatif kepada penduduk.

Andai berlaku bibit-bibit perpecahan dalam tempoh berkempen akibat ketaasuban yang melampau dalam kalangan penyokong tegar disebabkan perbezaan pandangan dalam politik kepartian, ia memberi kesan mendalam kepada mereka.

Perkara yang merunsingkan itu diakui sendiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Chemomoi, Abd Ghani Taib.

Beliau meminta pemimpin dan penyokong kedua-dua parti yang datang dari luar mengadakan ceramah secara ilmiah, bukannya memfitnah, mencaci dan mencemuh antara satu sama lain.

Katanya, kempen perlu menyentuh hal-hal pembangunan, kemajuan tetapi tidak memburukkan hal peribadi orang lain, selain isu yang dijaja dalam ceramah tidak keterlaluan.

"Susah untuk kami sebagai pemimpin setempat hendak mencantum semula pepecahan dan mereka selepas penceramah balik dan meninggal beban kepada kami yang hendak menyelamatkan (keharmonian) di kampung kami. Jadi elak berkempen yang boleh mengguris hati kami,” katanya.

Dalam masa sama, penduduk mereka mengharapkan kejujuran ahli politik dan penceramah dalam berkata-kata dan mahu mereka memelihara setiap tutur kata agar ia selari dengan agama Islam serta bebas daripada keburukan.

Penjagaan tutur bicara harus bagi mengelakkan kata-kata cemuhan, cacian, melaknat, memfitnah, mengumpat dalam setiap ceramah parti-parti politik tidak mengira lambang politik mana.

Apa yang pasti corak berkempen juga dilihat semakin agresif kerana masih berbaki 11 hari lagi menjelang hari mengundi apabila ketiga-tiga calon bertanding memperhebatkan usaha untuk menambat hati pengundi melalui setiap peluang yang ada.

Hakikat perlu disedari parti, calon dan jentera kempen bahawa pilihan raya bukan medan memaki hamun, memburukkan orang lain dan memfitnah sebaliknya, pentas untuk menerangkan perancangan ekonomi dan hal berkaitan kepentingan rakyat menerusi manifesto atau janji bersifat realistik.

Tinggalkan segala amalan buruk yang tidak memberi manfaat kepada parti dan pengundi. Sebaliknya marilah kita amal budaya kempen sihat dan buktikan politik kita matang.

*Norawazni Yusof adalah wartawan Sinar Harian Pahang