HARI ini kecoh di media sosial mengenai dengan laporan sebuah portal berita yang mengatakan bahawa peniaga yang menerima wang daripada aplikasi DuitNow QR akan mula membayar caj transaksi bermula 1 November ini.
Sebanyak 0.25 peratus akan dicaj daripada akaun penjual jika pembayaran dibuat daripada akaun semasa atau simpanan, manakala 0.50 peratus peratus dikenakan untuk pemindahan menerusi kad kredit.
Caj akan ditolak daripada akaun semasa atau simpanan pada setiap 5 hari bulan.
Berdasarkan laporan itu, Merak Jalanan sedikit sebanyak simpati dengan komen-komen peniaga yang seumpama terkejut dengan berita baharu itu.
Mereka mengatakan bahawa caj yang akan dikenakan mungkin akan memberi bebanan kepada peniaga terutamanya peniaga kecil.
Merak Jalanan teringat sewaktu zaman pandemik Covid-19, bayaran tanpa menggunakan wang fizikal amat popular dalam usaha orang ramai menghapuskan rantaian penyebaran virus pembunuh berkenaan.
Jadi bermula dari situ sehingga ke hari ini, bayaran dengan menggunakan DuitNow QR yang biasanya terdapat di premis-premis perniagaan sudah menjadi norma baharu.
Bahkan peniaga pasar malam dan peniaga pisang goreng juga turut menggunakan DuitNow QR memandangkan pelanggan hari ini lebih berminat untuk melakukan transaksi pembayaran secara cashless.
Jadi mungkin benar kata-kata peniaga, mereka selepas ini akan mempertimbangkan untuk tidak akan menggunakan perkhidmatan sedemikian dan kembali kepada transaksi secara tunai ataupun pemindahan wang secara terus.
Ini kerana kata mereka, di kala kuasa membeli semakin berkurangan, adalah lebih baik mereka tidak berdepan dengan satu lagi bebanan.