Suasana harmoni di bilik persalinan rahsia JDT kekal konsisten

Iklan
Pemain JDT, Juan Muniz Gallego (dua, kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang PDRM FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Rabu. - Foto Bernama

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mendedahkan suasana harmoni di bilik persalinan menjadi motivasi kepada kesebelasan skuad Harimau Selatan untuk mempamerkan aksi konsisten dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim ini.

Menurut Solari, keharmonian tersebut jelas menjadikan pemain lebih bersemangat untuk mempamerkan aksi terbaik masing-masing bagi menjamin kejayaan pasukan mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-10.

Iklan
Iklan

Malah katanya, tidak salah jika elemen berkenaan (harmoni), dilihat sebagai resipi kejayaan skuad Harimau Selatan mendominasi trofi Liga Super selama sedekad.

"Suasana harmoni ini menjadikan pemain lebih bersemangat untuk meningkatkan lagi kualiti permainan masing-masing setiap kali beraksi dan hari ini (Rabu), merupakan hari yang paling bermakna buat JDT apabila muncul juara (Liga Super) buat kali ke-10 berturut-turut.

Iklan

"Setakat ini kami turut menang dalam 21 perlawanan, tidak kalah, menjaringkan 86 gol dan bolos hanya tujuh kali. Kesemua ini amat memberangsangkan dan ia adalah hasil usaha keras setiap pemain yang cukup profesional dengan kesungguhan untuk belajar menjadi lebih baik selain mempamerkan komitmen yang tinggi setiap kali menjalani latihan.

"Kesemua elemen ini kemudiannya diterjemahkan pada perlawanan sebenar dan seperti yang kita semua dapat saksikan, kesemua pemain sentiasa memberikan aksi yang terbaik,” katanya.

Iklan

Solari berkata demikian pada sidang media sejurus tamat aksi Liga Super berdepan PDRM FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Rabu yang menyaksikan skuad Harimau Selatan menang, 4-0.

Esteban Solari - Foto FB Johor Southern Tigers

Kemenangan itu menyaksikan JDT terus gah di puncak Liga Super dengan 64 mata hasil 21 kemenangan, seri sekali selain tidak tewas dalam 22 perlawanan setakat ini, sekali gus mempertahankan trofi Liga Super yang dimenangi sejak musim 2014 lalu.

Sementara itu Solari berkata, misinya bersama JDT musim ini untuk membantu pasukan berkenaan menjadi lebih digeruni lawan pada masa hadapan.

Justeru katanya, bagi mencapai objektif tersebut, dia juga cuba menjadikan setiap pemain lebih baik dalam pelbagai aspek.

"Mungkin ada yang tak suka dengan cara saya, itu adalah normal dalam bola sepak, tambahan pula JDT mempunyai skuad yang besar hingga pemain sukar untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

"Oleh itu, cabaran yang sukar adalah untuk memotivasikan pemain yang jarang diturunkan agar mereka berada di tahap terbaik.

"Ini bukanlah tugas yang sukar namun mereka tepat menunjukkan kesungguhan dan ini yang menggerakkan pasukan untuk terus bekerja keras. Karekter seperti Aidil Zafuan (Abd Radzak), Farizal (Marlias) dan Safiq (Rahim) memain peranan lebih besar menjaga keharmonian dalam bilik persalinan,” katanya.