PULAU PINANG – Sebanyak 37 buah sekolah telah menyertai pertandingan video kreatif bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia 2023 yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS), Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Pertandingan yang dinamakan sebagai SUPER Students itu telah diadakan pada 10 Ogos sehingga 11 September lalu dan ia merupakan inisiatif NCIA dan iCEPA untuk mencungkil bakat para pelajar dari sekolah-sekolah di Perak dan Pulau Pinang dalam seni kreatif di samping menyemai semangat kenegaraan dalam kalangan mereka.
Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, semangat kenegaraan perlu dipupuk dalam diri setiap pelajar kerana mereka merupakan generasi pewaris yang akan menentukan corak negara pada masa depan.
Malah, usaha membentuk dan memperkasakan para pelajar itu katanya sentiasa menjadi tumpuan NCIA antaranya dengan melaksanakan program empowerNCER Akademik 2023.
"Impak program empowerNCER Akademik 2023 bukan sahaja fokus kepada kecemerlangan aspek akademik para pelajar, tetapi juga kepada pembangunan sahsiah mereka.
"Aspek ini sangat penting kerana apabila mereka mengamalkan nilai-nilai perpaduan, bersatu padu dan bekerjasama antara satu sama lain, ia akan menjana pembentukan belia negara yang berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berkenaan dengan SUPER Students, para pelajar perlu menyediakan video kreatif mengikut kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Drama dan Sketsa Pendek Kemerdekaan, Kategori Nyanyian atau Koir Kemerdekaan serta Kategori Sajak, Pantun dan Syair Kemerdekaan.
Video kreatif yang dihasilkan para pelajar adalah bertemakan integrasi dan keharmonian Malaysia yang mana hadiah wang tunai RM1,000 ditawarkan kepada tempat pertama diikuti RM700 (kedua), RM500 (ketiga) termasuklah hadiah saguhati sebanyak RM200.
Dalam pertandingan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh, Pulau Pinang telah memenangi tempat pertama Kategori Drama dan Sketsa Pendek dam berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.
Sementara itu, SMK Tunku Abdul Rahman, Pulau Pinang memenangi tempat pertama dalam Kategori Nyanyian dan Koir Kemerdekaan manakala SMK Alor Pongsu, Kerian, Perak pula mendapat tempat pertama dalam Kategori Sajak, Pantun dan Syair Kemerdekaan.