KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang pendaki warga India dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Jasar, Cameron Highlands sejak seminggu lalu.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli berkata, mangsa, Nanda Suresh Nadkarni, 44, dipercayai keluar dari hotel di Tanah Rata untuk mendaki Gunung Jasar kira-kira jam 9 pagi, 22 September lalu.
Menurutnya, mangsa mendaftar masuk ke hotel berkenaan pada 19 September dan sepatutnya mendaftar keluar 24 September lalu.
"Sehingga jam 12 tengah hari pada 24 September, mangsa didapati tidak mendaftar keluar.
"Kehilangan mangsa kemudiannya dilaporkan kepada polis oleh pengurus hotel berkenaan Isnin lalu," katanya.
Azri berkata, hasil siasatan awal berdasarkan rakaman kamera liter tertutup (CCTV) di sekitar Tanah Rata mendapati mangsa keluar dari hotel seorang diri untuk melakukan aktiviti mendaki di Trail 10 Gunung Jasar.
"Ekoran maklumat diterima, polis telah menubuhkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dimulakan disertai pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan badan bukan kerajaan (NGO)," jelasnya.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian dan menularkan sebarang maklumat tidak benar.
"Sekiranya mempunyai sebarang maklumat, boleh hubungi Bilik Gerakan (DCC) di talian 05-4915999," ujarnya.