MELAKA - Seorang warga emas gembira apabila terpilih dari kalangan 15 penerima bantuan menerusi Program Cahaya Ramadan anjuran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) 2019 di Charity Outlet Melaka Mall, di sini hari ini.
Jantan Yatim, 75, dari Pengkalan Batu, di sini, tinggal bersama seorang anak lelakinya berusia 50 tahun yang mengalami masalah mental sejak 10 tahun lalu.
Menurutnya, dia mempunyai sembilan anak dan dua daripadanya sudah meninggal dunia, begitu juga isterinya.
Malah, kehidupan saya banyak dibantu dari bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 selain bantuan menjelang hari raya diberikan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), setahun sekali.
"Anak-anak yang lain mempunyai keluarga masing-masing dan ada juga membantu dari segi kewangan.
"Saya tinggal di rumah sendiri, tapi tanah itu disewa RM25 sebulan. Jadi apabila menerima sumbangan hari raya, hari ini, saya sangat gembira.
"Terima kasih beri baju raya, barang makanan dan duit raya. Dulu saya berkerja kontrak buat rumah, tapi sekarang tak kuat lagi untuk mencari rezeki," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis itu, hari ini.
Sumbangan disampaikan Yang Dipertua MPHTJ, Mohd Rafee Ibrahim, sambil disaksikan setiausahanya Muhammad Shahrul Hafidz Ab Rahim.
Selain duit raya, penerima bantuan turut menerima sumbangan pakaian yang dihantar orang awam, barang makanan daripada pelbagai pihak, alat tulis, permainan kanak-kanan dan pelbagai lagi.
Bagi seorang lagi penerima, Azman Salim, 53, yang bergelar orang kurang upaya (OKU) kudung kaki kanan, selepas terpaksa dipotong hingga paras bawah lutut, akibat penyakit kencing manis, tiga tahun lalu.
"Saya gunakan kaki palsu sejak dua tahun lalu namun tidak lagi berkerja sebagai penyelia pembersihan bangunan. Saya menanggung isteri dan lima anak menggunakan pencen ilat PERKESO selain menerima bantuan makanan MAIM dan JKM," kata Azman.
Sementara itu, Mohd Rafee berkata, 15 penerima terbabit terdiri daripada golongan asnaf dari tiga kawasan DUN iaitu Kesidang, Pengkalan Batu dan Durian Tunggal.
"Kita mengumpul sumbangan pakaian daripada orang ramai dan menempatkannya di Charity Outlet Melaka Mall. Sumbangan pakaian ini diserah kepada penerima selain sumbangan makanan daripada Mydin.
"Sekiranya ada pihak yang mahu menyumbang makanan, pakaian, alat tulis, serta permainan digalakkan berbuat sedemikian bagi mengimarahkan bulan Ramadan," kata Mohd Rafee.
Beliau berakta, sehingga hari ini, kira-kira 70 individu sudah menerima sumbangan menerusi pelbagai program diatur pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit, seperti Program Singgah Sahur serta program lain yang sedang diatur.