Sultan Mizan seru rakyat Terengganu bersatu hati bangunkan negeri

Iklan
Sultan Mizan ketika bertitah ketika menyempurnakan Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Terengganu 1445 Hijrah di Stadium Tertutup Gong Badak di Kuala Nerus.

KUALA NERUS - Rakyat Terengganu diseru untuk terus bersatu padu membangunkan negeri dan mempertingkatkan perpaduan dengan mengikuti dan menelusuri sirah Nabi Muhammad SAW serta para sahabat Baginda.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, terdapat banyak contoh teladan yang boleh diikuti daripada sirah Rasulullah terutama akhlak Baginda untuk diamalkan umat Islam.

Iklan
Iklan

Ujar baginda, Nabi Muhammad SAW begitu menjaga keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, kaum dan agama.

"Kasih sayang dan sikap toleransi seharusnya dipupuk dan disemai dalam kalangan kita di samping memangkin usaha memperkuatkan peribadi masyarakat dengan keluhuran akhlak yang mulia dan adab yang tinggi.

Iklan

"Marilah atas rasa sayang dan kasih kepada Rasulullah, kita bina ummah ini dan rakyat jelata keseluruhannya ke arah kehidupan yang lebih harmoni, bertolak ansur dan hormat menghormati antara satu sama lain.

"Beta mengharapkan ianya akan membawa negeri Terengganu yang dicintai ini menjadi sebuah negeri yang digambarkan oleh Allah dalam surah al-Saba' ayat 15 yang bermaksud negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu ialah) Tuhan yang Maha Pengampun," titah baginda.

Iklan

Terdahulu, baginda dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah tiba di Stadium Tertutup Gong Badak di sini bagi menyempurnakan Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Terengganu 1445 Hijrah dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, baginda menyeru rakyat Terengganu agar menyemarakkan lagi kasih sayang sesama mereka, kerana Allah SWT sentiasa mencurahkan kepada makhIuk-Nya dengan segala kasih sayang melalui pelbagai nikmat dalam kehidupan di dunia.

"Sesungguhnya kasih sayang ALLAH mengatasi kemurkaan-Nya.

"Beta mendoakan semoga kita semua dirahmati dan diberi taufik oleh ALLAH SWT dan semoga apa yang dilaksanakan ini akan menjadi asbab untuk kita mendapat syafaat besar Rasulullah SAW pada hari akhirat nanti," titah baginda.

Sambutan Maulidur Rasul peringkat Terengganu pada Khamis disertai seramai 2,208 peserta daripada 69 kontinjen.

Perarakan sempena kelahiran junjungan Baginda Nabi Muhammad SAW itu bermula dari padang sintetik Kampung Tok Jiring sehingga ke Stadium Tertutup di sini dengan jarak 3.4 kilometer (km).