PUTRAJAYA - Umat Islam perlu memanfaatkan media sosial dengan berkongsi kandungan yang membawa mesej berunsur kebaikan serta tidak membawa kepada perpecahan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, adalah tidak wajar umat Islam mewajahkan agama Islam yang suci dengan rupa paras ekstrem, taasub dan melampau dalam kandungan di media sosial.
"Begitu juga kandungan di media sosial yang melibatkan berita semasa, isu agama serta hukum-hakam,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445 Hijrah/2023 Masihi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis.
Menurutnya, umat Islam seharusnya menjadi pendamai yang menyeru kepada kasih sayang dan penyatuan ummah kerana sifat seumpama itu merupakan tanggungjawab setiap insan kepada negara.
"Janganlah kita menjadi pemecah-belah yang memporak-peranda, mencetus provokasi dan menyebar fitnah. Usahlah direntap keharmonian serta kesepakatan yang dinikmati masyarakat,” katanya.
Beliau turut menasihati umat Islam agar tidak menjadi ‘api dalam sekam’ yang dengan sengaja menjadikan sentimen agama serta perkauman sebagai senjata untuk meraih sokongan dan kepentingan tertentu.
Mohd Na’im berharap pihak mufti dan Jabatan Mufti Negeri-negeri memainkan peranan masing-masing dengan memberi pencerahan kepada umat Islam agar dapat menangani isu fitnah, adu domba daripada terus berleluasa kerana sifat tersebut menjurus kepada perpecahan.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim komited melaksanakan agenda Membangun Malaysia Madani bagi membentuk kesejahteraan masyarakat yang menjadi nilai teras Masyarakat MADANI dengan agenda itu turut dikongsi di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-78 di New York baru-baru ini.
Majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445 Hijrah/2023 Masihi bertemakan Perpaduan Teras Malaysia MADANI itu diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - Bernama
l