SHAH ALAM - Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), pengendali DuitNow QR mengesahkan akan mengenakan caj transaksi kepada pengguna aplikasi tersebut berkuat kuasa 1 November depan.
PayNet dalam satu kenyataan memberitahu, sewaktu aplikasi DuitNow QR diperkenalkan pada tahun 2019, pengendali tidak mengenakan sebarang caj kadar diskaun pedagang atau ‘merchant discount rate’ (MDR).
"Pengecualian pembayaran itu kemudiannya dilanjutkan berikutan penularan wabak Covid-19 dan ia bukan bayaran baharu mahupun tambahan sebaliknya penamatan MDR yang sepatutnya dilakukan sembilan bulan lalu,” kata kenyataan itu pada Khamis.
Media pada Selasa melaporkan caj transaksi akan berkuat kuasa di semua bank mulai 1 November dan jumlah bayaran yang dikenakan ke atas akaun peniaga apabila menerima bayaran melalui DuitNow akan berbeza-beza berdasarkan cara pemindahan.
Mengulas lanjut, PayNet berkata, e-pembayaran yang dibuat melalui aplikasi berkenaan kepada mana-mana peniaga tidak akan menjejaskan harga barangan dan perkhidmatan.
Jelas syarikat berkenaan, peniaga akan menerima bayaran yang dibuat oleh pelanggan mereka selepas ditolak MDR dan ketika ini pembayaran kad debit dan kredit dikenakan MDR manakala terdapat penepian atau ‘waiver’ MDR pada pembayaran QR.
Dalam pada itu, berkenaan isu caj RM0.50 untuk urus niaga melebihi RM5,000, PayNet berkata, bayaran tersebut dikenakan untuk pemindahan dana peer-to-peer daripada QR peribadi ke QR peribadi lain.
"Ini sama sekali tidak berkaitan dengan pembayaran QR pertama yang disebut kepada pedagang dan dalam keadaan apa pun kedua-dua yuran tidak akan dikenakan untuk transaksi sama,” kata kenyataan itu.
Pada masa sama, PayNet memaklumkan dana rizab bakal diwujudkan menerusi MDR yang dikutip untuk memberi insentif kepada pemeroleh supaya tidak mengenakan sebarang MDR kepada peniaga kecil.
"Walaupun PayNet tidak berada dalam kedudukan untuk menentukan harga pasaran yang dikenakan kepada peniaga, beberapa bank dan pemeroleh pihak ketiga berhasrat untuk sama ada terus menangguhkan mengenakan MDR atau menyerapnya untuk perniagaan yang lebih kecil.
"Dalam hal ini, peniaga harus menyemak dengan bank atau pemeroleh pihak ketiga mereka untuk mengesahkan perkara ini,” kata kenyataan itu.