ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru agar seluruh umat Islam menghayati perjuangan Rasulullah SAW dengan menghidupkan syariat dan syiar dibawa Baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah kaedah dan pendekatan diajar Baginda perlu diikuti dalam menyelesaikan segala permasalahan iaitu dengan menggunakan al-Quran dan Sunnah untuk dirujuk dan dijadikan sebagai panduan hidup.
Titah baginda, Maulidur Rasul ini pada dasarnya adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah Islam bertujuan mentarbiah, membimbing dan mengingatkan umat Islam agar menghargai apa dikurniakan Allah SWT melalui kelahiran Rasulullah SAW.
"Tambahan pula, Rasulullah SAW diiktiraf sebagai tokoh teragung sepanjang zaman, kerana Baginda berjaya membawa perubahan besar, kepada lanskap akidah, syariah dan akhlak manusia," titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah sedemikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah bagi Tahun 2023 di sebuah hotel, pada Khamis.
Turut berangkat sama, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Menurut baginda lagi, peribadi Rasulullah sehingga kini masih turut dikagumi oleh musuh Islam.
"Justeru, kita perlu memberi perhatian supaya sejarah perjuangan Rasulullah SAW ini diteladani, diulangkaji, dirujuk dan disuburkan setiap masa supaya ia kekal dalam ingatan dan jiwa manusia," titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah sudah pasti kefahaman umat Islam terhadap ajaran Rasulullah SAW perlu diperkukuhkan dalam menghadapi cabaran semasa,
"Antara cara, memupuk nilai kecintaan dan sentiasa menjadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan dalam kehidupan dengan memupuk perasaan kasih sayang terhadap Baginda melebihi kasih sayang lain dengan cara menghayati kisah-kisah Rasulullah SAW menerapkan sifat-sifat mulia Baginda dalam kehidupan seharian.
"Selain itu, menjadikan sunah Baginda sebagai ikutan kita serta dianjurkan supaya membanyakkan selawat ke atas junjungan besar Rasulullah SAW,"katanya
Sultan Sallehuddin menyifatkan Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik bagi seluruh umat.
Dalam perkembangan sama, Sultan Kedah turut menasihatkan rakyat Kedah seharusnya bertanggungjawab bersama, memelihara dan menjaga negeri ini kerana ia adalah tempat tinggal kita bersama, tempat bernaung di bawah langit Nya.
"Di sinilah kita mencari nafkah dan menjalani kehidupan, serta pengakhiran hidup yang baik.Jadi, kita seharusnya bertanggungjawab bersama, memelihara dan menjaganya dengan sebaik-baiknya,"titah baginda lagi.
Baginda turut berhasrat dan inginkan konsep Rahmatan Lil Alamin diajari dan diperkenalkan oleh Rasulullah SAW difahami dari perspektif lebih luas.
"Ini adalah merupakan satu penegasan terhadap keabsahan Islam sebagai satu-satunya agama sebenar, selain berusaha menyebarkannya kepada umat lain," ujar baginda.
Sebelum itu, lebih 300 hadirin menyertai sambutan Maulidur Rasul yang dimeriahkan dengan beberapa aktiviti termasuklah nyanyian lagu 'Allah Selamat Sultan', bacaan ayat-ayat Al-Quran.