PM Thailand derma gaji, elaun jawatan

Iklan
Jumlah gabungan gaji sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diterima Srettha berjumlah 125,590 baht (RM16,090). - Foto Agensi

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin bersetuju untuk mendermakan kesemua gaji bulanan dan elaun diperoleh beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya kepada pelbagai badan amal tempatan.

Menerusi laporan Bangkok Post, perkara itu dimaklumkan jurucakap kerajaan, Chai Wacharonke pada Khamis dan menjelaskan keputusan itu dibuat kerana Srettha, 61, percaya dengan 'kuasa memberi' yang sewajarnya bermula dengan dirinya sendiri ketika beberapa dasar mula dilaksanakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Iklan
Iklan

"Jumlah gabungan gaji sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berjumlah 125,590 baht (RM16,090) yang terdiri daripada 75,590 baht (RM9,684) gaji dan elaun jawatan berjumlah 50,000 baht (RM6,405) akan disalurkan kepada yayasan untuk membantu golongan memerlukan," ujarnya.

Menurutnya, pendekatan sedemikian lebih cepat berbanding hanya bergantung kepada proses perundangan dalam sistem Parlimen.

Iklan

"Sebuah pasukan kerja akan ditubuhkan untuk memilih yayasan akan menerima derma Srettha mengikut keutamaan dan Badan Amal untuk Kanak-kanak telah dipilih sebagai penerima pertama," jelasnya lagi.

Selain menghulurkan sumbangan peribadi itu, bekas taikun hartanah itu juga akan bertemu dengan pelbagai yayasan untuk mendengar masalah dan mencari jalan penyelesaian untuk badan tersebut. - Agensi

Iklan