Kerajaan digesa kemuka pelan atasi masalah bekalan beras tempatan

Iklan
Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengemukakan satu pelan tindakan komprehensif untuk mengatasi masalah bekalan beras tempatan dan memastikan rakyat sentiasa mempunyai makanan di atas meja mereka.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana pengeluaran beras dalam negara semakin merosot dengan 1.68 juta tan pada 2021 kepada 1.57 juta tan pada tahun lalu.

Iklan
Iklan

Beliau berpandangan, Ia mungkin permulaan kepada suatu krisis lebih besar pada masa hadapan kerana perubahan iklim dunia telah menyebabkan kemarau dan banjir di banyak negara yang menjejaskan pengeluaran bahan makanan termasuk beras.

"Dalam keadaan negara kita masih bergantung kepada import bahan makanan yang tinggi, kekurangan pengeluaran bahan makanan di negara-negara terjejas dengan perubahan iklim akan menjejaskan bekalan makanan di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau turut meminta agar tindakan penguatkuasaan lebih ketat dan menyeluruh dilaksanakan bagi memastikan tidak ada pihak memanipulasi rantaian bekalan beras tempatan, menambah stok simpanan beras negara dan meningkatkan pengeluaran bahan makanan dalam negara.

"Tindakan secara ad-hoc seperti yang diambil pada masa ini tidak memadai untuk menjamin bekalan makanan sentiasa mencukupi dan boleh dibeli pada harga berpatutan oleh rakyat,” jelas beliau.

Iklan

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut melahirkan kebimbangan susulan situasi rakyat perlu beratur panjang untuk membeli beras di lokasi-lokasi yang diusahakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Keadaan ini tidak pernah berlaku di negara kita sebelum ini. Perkembangan ini amat membimbangkan kita memandangkan beras adalah makanan ruji rakyat.

"Menurut Laporan Akaun Pembekalan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Terpilih, 2018-2022‬ dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara, Malaysia memerlukan 2.68 juta tan beras setahun. Daripada jumlah ini, 1.11 juta tan adalah beras yang diimport,” ujarnya.

Menurutnya, negara bergantung sekitar 40 peratus kepada bekalan import beras dari negara-negara pengeluar beras seperti Thailand, Vietnam, Pakistan dan India.

"Masalah bekalan beras menjadi lebih meruncing apabila negara pengeluar beras mengenakan sekatan eksport beras. Sepertimana yang berlaku pada masa ini, India telah menyekat eksport beras putih kerana negara itu sendiri sedang menghadapi krisis bekalan beras.

"Ini menyebabkan Malaysia sentiasa terdedah kepada risiko kekurangan bekalan beras dan ketidakstabilan harga beras disebabkan sama ada oleh kekurangan bekalan beras dunia atau kadar pertukaran wang asing yang berubah-ubah,” kata Muhyiddin.