ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa senarai ‘wish list’ Kedah yang diserahkan kepada kerajaan Persekutuan tidak pernah disenaraikan dalam belanjawan sebelum ini.
Beliau berkata, senarai hajat yang merupakan permohonan negeri menerusi sesi libat urus antara kerajaan negeri dengan Kementerian Kewangan (MOF) hanya sekadar formaliti.
Menurut Sanusi, sesi libat urus sempena pembentangan Belanjawan 2024 masih belum diadakan sehingga kini biarpun pembentangan akan diadakan pada 13 Oktober depan.
"Kebiasaan kerajaan Persekutuan melalui MOF akan adakan sesi libat urus dengan negeri-negeri. Setakat ini pertemuan antara wakil MOF dan negeri belum lagi diadakan.
"Lazimnya kita akan serah wish list Kedah dalam sesi libat urus tersebut. Namun berdasarkan pengalaman saya sepanjang menjadi Menteri Besar, libat urus tersebut sekadar formaliti sahaja,” katanya.
Sanusi bagaimana pun mengalu-alukan kehadiran sesi libat urus berkenaan untuk manfaat semua pihak.
"Senarai yang kita serah (wish list) tak pernah masuk (belanjawan Persekutuan) pun., tapi tak apalah, mai (datang) lah buat libat urus di Kedah.
"Jangan lah jadikan sesi tersebut umpama untuk ambil hati saja. Saya bukan nak mengata pada mereka tetapi hakikatnya memang begitu, sekadar formaliti,” ujarnya.
Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu, tanggapannya itu bukan sekadar tuduhan, sebaliknya prosedur sebelum ini menyaksikan apa yang dihajati sukar dipenuhi biarpun ia keperluan.
"Sebabnya bajet daripada agensi dan jabatan (Persekutuan) sudah dibuat awal. Mereka ada pengarah belanjawan masing-masing, mereka itu lah yang rangka bajet untuk Persekutuan,” jelasnya lagi.