PELAKON veteran yang juga bintang siri terkemuka, Harry Potter, Michael Gambon meninggal dunia pada usia 82 tahun.
Gambon yang terkenal dengan watak Profesor Albus Dumbledore dalam enam daripada lapan siri penuh Harry Potter itu, dilaporkan meninggal dunia akibat pneumonia.
Berita pemergian bintang itu disahkan balu serta anaknya dalam kenyataan pada Khamis.
"Dengan penuh dukacita kami ingin mengumumkan pemergian Sir Michael Gambon.
"Michael meninggal dengan tenang di hospital di samping isteri, Anne dan anak, Fergus, akibat pneumonia," kata keluarga itu.
Gambon memainkan watak sebagai pengetua Hogwarts dalam beberapa siri utama Harry Potter.
Gambon memulakan karier lakonan sejak lebih 60 tahun lalu dan merupakan anggota rasmi Royal National Theatre bersama Laurence Olivier.
Gambon juga sebelum ini pernah memainkan watak sebagai detektif Perancis, Jules Maigret dalam siri ITV, Maigret termasuk siri terbitan BCC, The Singing Detective.
Sepanjang kariernya, Gambon pernah menerima pelbagai anugerah terkemuka termasuk Anugerah Olivier, British Academy Film Awards (BAFTA) dan Anugerah Emmy.
Mendiang memulakan karier lakonannya menerusi debut produksi Othello di Dublin pada 1962 sebelum menyertai Teater Kebangsaan di London dan kemudian memperluaskan karier lakonan di serata United Kingdom, New York dan Jerman.