Mayat mangsa karam ditemui

Iklan
Mayat mangsa dibawa ke jeti APMM Bukit Malut sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

LANGKAWI - Mayat salah seorang mangsa bot karam yang dilaporkan hilang sejak Selasa lepas ditemukan terapung di kedudukan 3.5 batu nautika barat Pulau Langkawi, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Rozali Mohd Said berkata, mayat mangsa ditemui pemilik bot kira-kira jam 2 petang tadi selepas timbul di permukaan air.

Iklan
Iklan

Rozali berkata, mayat terbabit ditemui semasa pemilik bot yang karam melakukan kerja-kerja menunda tersebut ke tempat cetek untuk diapungkan semula.

"Mangsa dipercayai telah terperangkap di dalam bot semasa bot berkenaan karam akibat dilanda ribut baru-baru ini.

Iklan

"Sebelum ini, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi telah menamatkan Operasi Carilamat kira-kira 7.30 petang pada 11 Mei setelah 4 hari operasi dilakukan tidak menemui sebarang petunjuk," katanya.

Katanya, susulan itu, Bot Petir 81 dan kapal KM Sugut dari APMM Kedah dan Perlis telah diarahkan ke lokasi mayat dijumpai dan telah membawa mayat ke jeti APMM Bukit Malut sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Iklan

Katanya, pemilik akan meneruskan kerja-kerja mengapungkan bot untuk mengesan tiga lagi mangsa yang berkemungkinan turut terperangkap di dalam bot yang karam itu.

Orang ramai memiliki sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi APMM Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan satu laporan dibuat pemilik bot Kelas C berpendaftaran KF 4674 pada 7 Mei lepas berhubung kehilangan bot dinaiki empat awak-awak Thailand setelah gagal menghubungi mereka sejak beberapa hari lalu.

Maklumat dari nelayan lain memaklumkan dua buah bot dari Pangkalan Kuala Perlis telah keluar ke laut untuk memukat ikan.

Bagaimanapun, kehilangan sebuah bot disedari oleh nelayan lain kira-kira jam 7 pagi pada 5 Mei lalu selepas dilanda ribut.