Dua rakan lemas ketika mandi Air Terjun Tasik Puteri

Iklan
Anggota pasukan penyelamat mencari dua pelajar yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Air Terjun Tasik Puteri, Bukit Besi, Dungun, petang Khamis. - Foto Facebook

DUNGUN - Dua rakan ditemukan lemas selepas hilang dibawa arus ketika mandi-manda di kawasan Air Terjun Tasik Puteri, Bukit Besi, di sini pada petang Khamis.

Mangsa, Muhammad Khalili Hasnol dan Mohamad Qamarul Ariffin Mohd Ramly masing-masing berusia 20 tahun ditemukan jam 8.38 malam pada jarak 3 meter dari tebing dengan kedalaman lima meter.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Penolong Penguasa Bomba Shariffuddin Ali berkata, mayat mangsa yang merupakan pelajar jurusan Diploma Teknologi Maklumat Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Kita menggerakkan seramai 12 anggota selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.47 petang pada Khamis.

Iklan

"Usaha pencarian dilakukan di kawasan tepi air terjun dan membuat selaman dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai,” katanya.

Difahamkan, mangsa bersama tujuh rakan yang lain menghabiskan cuti sempena Maulidur Rasul dengan mandi-manda di kawasan berkenaan.

Iklan

Menurut rakan mangsa, Muhammad Fadli Baharudin, 20, sebelum kejadian, mereka menaiki motosikal dari rumah sewa di Kampung Alor Tempoyak, di sini sebelum tiba di kawasan air terjun itu kira-kira jam 5.15 petang.

"Seorang rakan kami cuba berenang ke arah mereka, namun gagal untuk selamatkan mereka,” katanya.

Menurut Muhammad Fadli, mereka cuba meminta bantuan penduduk kampung dan menggunakan pelampung untuk menyelamatkan dua rakannya namun tidak berhasil.