SHAH ALAM - Penyusutan nilai ringgit kepada RM4.71 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini memerlukan pemantauan yang rapi oleh kerajaan.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, trend kemerosotan ringgit yang pernah berlaku sebelum ini kini berulang.
"Trend menyusut Ringgit Malaysia (RM) berulang. Perlu dipantau rapi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, ringgit menyusut nilai berbanding dolar AS apabila sentimen menggalakkan terus menyokong mata wang AS.
Pada jam 9.15 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.7050/7095 berbanding dolar AS daripada penutupan Selasa 4.6875/6915.
Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, pasaran percaya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat masih akan menaikkan kadar faedah.
Untuk rekod, ringgit ditutup pada paras terendah baharu sepanjang masa berbanding dolar AS pada November 2022 berikutan sentimen lemah dalam persekitaran dolar AS yang kukuh.
Mata wang tempatan ketika itu merosot kepada 4.7425/7460 berbanding dolar AS daripada 4.7360/7400.