BENTONG - Semua agensi kerajaan termasuk asrama sekolah akan menggunakan beras import sebagai langkah menambah bekalan beras tempatan di pasaran sekali gus menampung permintaan pengguna awam yang tinggi ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini kerana agensi kerajaan seperti kem tentera, hospital dan asrama sekolah menggunakan bekalan beras tempatan secara pukal.
Menurutnya, penambahan subsidi diperlukan bagi membolehkan agensi-agensi terlibat mula menggunakan beras import.
"Kita mahu beras putih yang berharga RM26 sekampit ini diperbanyakkan dengan kita minta agensi-agensi kerajaan, seperti asrama (sekolah), hospital, tentera dan sebagainya gunakan beras import.
"Kerajaan (perlu) beri subsidi atas pembelian agensi kerajaan, maka puluhan ribu kampit (beras) akan berada di pasaran," katanya ketika berucap pada Progam 'Sembang Santai Perpaduan' di Bilik Gerakan Simpang Pelangai, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau yang ditemui pemberita selepas itu berkata, perkara tersebut akan dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan pada Isnin sebelum ia dimuktamadkan.
Bagaimanapun, jumlah sebenar pertambahan bekalan beras tempatan kekal belum dapat dipastikan.
"Tapi tak banyak mana antara RM32 hingga RM35," katanya.
Sementara itu, beliau meminta orang awam untuk tidak bertindak secara melulu dengan membuat serbuan ke kilang beras susulan dakwaan pengilang enggan menjual beras tempatan pada harga ditetapkan.
"Tiada bukti, saya minta orang awam jangan buat serbuan, kita ada pegawai, kalau ada, kita laporkan kepada KPDN dan pihak polis," katanya.