Belanjawan 2024 diharap dapat ringankan beban peneroka

Iklan
Peneroka Felda harap Belanjawan 2024 dapat mengurangkan beban mereka termasuk generasi kedua. - Foto Bernama (Gambar kecil dari kiri: Samini, Mazelan dan Siti Saemah)

KUANTAN - Rata-rata peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengharapkan Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada bulan depan dapat mengurangkan beban mereka termasuk generasi kedua.

Mereka mahu Kerajaan Madani memberi tumpuan lebih kepada perumahan generasi kedua Felda, menaikkan elaun sara hidup warga tanah rancangan itu, selain mengawal harga barang.

Iklan
Iklan

Peneroka, Samini Mat Hasan, 58, berkata, keperluan rumah untuk generasi kedua merupakan keperluan mendesak pada ketika ini.

Katanya, kekurangan perumahan untuk generasi kedua menyebabkan mereka terpaksa berkongsi tinggal dengan ibu bapa di tanah rancangan itu.

Iklan

"Di Felda ramai generasi muda iaitu anak dan cucu peneroka, jadi amat perlu diadakan perumahan baru untuk generasi muda ini,” ujarnya ketika ditemui di Felda Panching Selatan di sini pada Khamis.

Bagi peneroka, Siti Saemah Abd Hamid, 65, pula meminta kerajaan Persekutuan mengumumkan inisiatif bagi membantu peneroka dan rakyat dalam menangani isu kenaikan harga barang.

Iklan

"Kita minta harga barang di kawal, sebab kita rakyat semua susah, ada yang makan nasi sekali sehari dengan ikan bilis, ada yang makan mi segera.

"Keluarga yang mempunyai anak ramai lagi terkesan, jadi tolong pertimbangan,” jelasnya.

Sementara itu, Mazelan Mohd Ali, 75, berharap peruntukan gaji peneroka dinaikkan dalam pembentangan belanjawan kali ini.

Menurutnya, gaji sedia ada tidak mencukupi dan perlu dinaikkan kepada RM2,000 sebulan disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat pada ketika ini.

"Gaji RM1,000 sebulan tidak mencukupi kerana perbelanjaan keperluan sudah meningkat, jadi kita peneroka harap ada berita gembira pada bajet kali ini,” katanya.