Belanjawan 2024: Kerajaan perlu tumpu tiga isu utama - MEF

Iklan
Kerajaan juga diharap dapat memberikan lebih banyak peruntukan untuk merombak kursus Pendidikan dan TVET. - Foto Bernama (Gambar kecil: Syed Hussain)

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mengharapkan kerajaan memberi tumpuan kepada tiga isu utama dalam Belanjawan 2024.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, ia merangkumi kemampanan jangka panjang bagi perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta persekitaran perniagaan Malaysia mesti diubah menjadikannya lebih menarik untuk mengekalkan serta menarik pelaburan berkualiti tinggi.

Iklan
Iklan

Selain itu, kerajaan diharap dapat memberikan lebih banyak peruntukan untuk merombak kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Kemampanan jangka panjang perniagaan terutamanya PKS adalah penting untuk memastikannya kekal dalam perniagaan walaupun menghadapi masa yang mencabar.

Iklan

"PKS perlu dibantu untuk mengikuti perkembangan digitalisasi operasi supaya mereka boleh menjadi lebih produktif dan berdaya saing.

"Belanjawan 2024 juga harus memperkenalkan langkah yang akan mengubah Malaysia menjadi persekitaran mesra perniagaan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, seterusnya akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat terutamanya golongan belia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Tambah Syed Hussain, TVET sangat penting untuk melahirkan pekerja berkemahiran tinggi selaras dengan IR 4.0 dan meningkatkan peratusannya kepada 35 peratus menjelang 2025.

Jelasnya, peralatan di institusi TVET awam juga harus dinaik taraf supaya pelajar dapat merasai dan menggunakan mesin terkini di institusi.

"Saya turut melihat terdapat keperluan menjadikan persekitaran perniagaan lebih baik untuk menarik pelaburan.

"Kadar cukai korporat yang lebih rendah setanding dengan kadar cukai serantau boleh menjadikan Malaysia lebih menarik kepada pelabur.

"Pelabur berkualiti tinggi akan mewujudkan pekerjaan yang lebih baik. Cukai pendapatan individu pula perlu dikurangkan untuk menarik dan mengekalkan lebih ramai bakat ke negara ini,” ujarnya.

MEF juga katanya, berharap Bank Negara mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) pada ketika ini iaitu tiga peratus untuk menjadikan kos pinjaman lebih berpatutan.

Jelas Syed Hussain, kos pinjaman yang lebih rendah akan menggalakkan pengusaha meningkatkan pelaburan mereka, sekali gus menggalakkan keseluruhan aktiviti ekonomi dan pertumbuhan.