SKUAD sepak takraw negara bakal berdepan ‘ujian sebenar’ apabila akan membuat perhitungan dengan juara bertahan, Thailand dalam pentas akhir acara berpasukan lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Jumaat.
Pasukan bimbingan Ahmad Jais Baharun tekad melakar kejutan ke atas musuh tradisi itu menerusi strategi ampuh yang dirangka bersama para pemain.
Justeru beliau berharap para pemain yang bakal diturunkan pada perlawanan ‘hidup dan mati’ itu dapat menyerap tekanan dengan baik.
"Harapan kepada pemain adalah sama (memenangi emas). Para peminat dan penggiat takraw inginkan kejayaan.
"Apa yang penting para pemain perlu menyerap tekanan awal. Perkemaskan lagi jentera pertahanan dan lakukan serangan bervariasi ke gelanggang Thailand melalui servis, rejaman dan hadangan apit kanan,” katanya kepada Sukan Sinar.
Final itu ibarat ulangan final bagi acara sama pada temasya 2018 di Jakarta-Palembang yang menyaksikan skuad negara terpaksa akur kehebatan lawan apabila membawa pulang perak.
Malah aksi akhir itu juga jauh berbeza berbanding ketika mereka melayan ‘servis’ Indonesia, Korea Selatan dan Laos sebelum ini.
Ahmad Jais juga berharap rehat sehari menjelang final di Gimnasium JSC itu, para pemain bersedia sepenuhnya daripada segi fizikal dan mental, selain kecergasan berada pada tahap optimum.
"Keadaan fizikal dan mental pemain meningkat. Harap mereka cergas sepenuhnya dan bersiap sedia untuk menghadapi cabaran Thailand nanti,” katanya.
Mengenai prestasi pemain, Ahmad Jais tidak berpuas hati dengan rentak regu Muhammad Haziq Hairul Nizam bersama Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Farhan Adam yang belum mempamerkan karektar sebenar mereka.
"Saya secara peribadi lihat regu Haziq tidak dapat lagi tunjuk prestasi sebenar seperti ketika kem latihan di Ratchaburi, Thailand dan pertandingan pemanas badan pada Piala Pattaya Ogos lalu.
"Mereka satu regu belum dapat pamer prestasi sebenar dan harap final nanti segala apa yang mereka ada, kelebihan yang dimiliki ‘dikeluarkan’ untuk beri cabaran besar kepada Thailand,” katanya.
Cabaran Malaysia juga digalas Mohammad Syahir Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir.
Turut membawa nama negara ialah regu ketiga yang dibarisi Muhamad Zarif Marican, Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Muhammad Zaim Razali.