Asal barang jadi duit

Iklan
Gambar hiasan - Foto123RF

TERINGAT filem P Ramlee, Ali Baba Bujang Lapok bersama 40 penyamun. Naratifnya, kesemua pencuri mengambil apa sahaja barang untuk disimpan dalam gua.

Ada juga babak ketika Ali Baba mengambil semua barang dalam gua dan terakhir satu topi besi lalu dipakaikan di kepalanya sambil berkata"untuk keselamatan diri”. Nah...ketika itu barang pelik pun dirasakan berfungsi.

Iklan
Iklan

Bukan mahu menggalakkan kegiatan mencuri, tetapi pengajaran daripada filem itu, semua barang yang diambil dan disimpan penyamun mempunyai nilai kepada mereka.

Penulis juga teringat tabiat sesetengah orang yang suka menyimpan barang hingga penuh bertimbun memenuhi setiap rumah.

Iklan

Banyak juga kisah yang dipaparkan di media massa dan di media sosial sikap golongan yang sayang kepada barang-barang itu hinggakan fungsi rumah sudah bertukar menjadi stor simpanan barang.

Mungkin mereka yang mempunyai tabiat seperti itu berfikiran bahawa dalam keadaan ekonomi yang kian menekan, maka mereka percaya ‘asal barang jadi duit’.

Iklan

Penulis bukan mahu menggalakkan orang ramai menyimpan barang yang tidak perlu atau bersikap tamak sehingga menjadi sampah di dalam dan luar rumah.

Kita hanya mahu berkongsi cerita bahawa ada individu yang mendapat keuntungan berganda hasil barangan lama yang dijual semula.

Mereka bijak mencari pelanggan yang sebenarnya memang memerlukan barang tersebut malah sanggup berhabis ribuan ringgit untuk membeli barangan lama kerana nilai sentimental atau kenangan tertentu.

Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) menjual batu sungai pada mulanya dianggap pelik seperti tiada benda lain boleh dijual untuk menambah pendapatan.

Penulis yang berbual seketika dengan wanita itu mengetahui rupa-rupanya dia boleh menjual batu sebesar penumbuk lelaki dewasa (jika boleh digambarkan) pada harga RM20 dan paling mengejutkan lebih 100 batu dijual tidak sampai sebulan.

Jadi setiap minggu rutin wanita itu ialah mencari batu sungai yang jauhnya perjalanan lebih tiga jam ke Gua Musang dari rumahnya di Kubang Kerian.

Itulah namanya, asal barang jadi duit kerana kita memang tidak menyangka ramai peminat batu sungai yang ternyata ada pelbagai fungsi.

Tidak tercapai akal apabila beberapa pelanggan dari seluruh negara sanggup memintanya mengepos batu dan dengan rela membayar kosnya. Beratnya batu itu.

Berkongsi kisah pengumpul barangan lama pula, kata mereka, sebenarnya ramai yang mencari koleksi sebegitu untuk pelbagai tujuan dekorasi kediaman atau hadiah kepada kawan-kawan.

Penjual sendiri mengakui tidak menang tangan mencari kerana ramai bertanya dan menanti barangan tertentu yang sudah dimaklumkan terlebih dahulu.

Jangan terkejut jika pelita yang dibuat dengan tangan pada tahun 1980-an boleh mencecah harga ratusan ringgit untuk sepasang.

Ada peminat dapur minyak tanah tahun 1980-an berani membeli pada harga RM100 kerana nilai dan keperluannya kini. Jangan dipandang buruknya barang tetapi apa istimewanya ia dalam zaman moden ini.

Ada juga barang lama yang sudah bertukar fungsi tetapi itu tidak menjadi masalah jika ada peminatnya. Antaranya ialah kacip pinang yang dulunya memang digunakan untuk mengetip pinang tetapi kini sudah menjadi ketip gula melaka supaya lebih kecil untuk menjadi inti ondeh-ondeh.

Mungkin ramai generasi baharu yang tidak kenal biji saga. Berwarna merah dan boleh dimakan selepas digoreng bersama pasir. Ada yang menjualnya pada harga RM5 hanya 60 biji sahaja di media sosial. Tanya ibu atau nenek kita yang berusia 50 tahun ke atas, mungkin boleh ternganga mendengar harga itu.

Fungsi buah kecil itu kini bukan untuk dimakan tetapi mencantikkan ruang rumah atau dekorasi kad.

Jika rajin membuat carian di media sosial, banyak barang yang kita rasa tidak berguna tetapi hakikatnya boleh mendatangkan rezeki kepada penjual.

Raga besi motosikal yang mencecah sehingga RM500 dan tempat duduk rotan kanak-kanak paling murah RM200 pun ada yang ‘PM’ tepi untuk membeli.

Nampaknya selepas ini, kita boleh membelek barang-barang lama dalam stor yang mungkin dianggap sampah dan muat naik saja di media sosial. Untung-untung jadi duit tapi kena bersabar jika tak laku.

*Aswany Omar ialah Wartawan Sinar Harian Kelantan