Caj transaksi QR DuitNow dibimbangi beri implikasi domino

Iklan
PayNet mengesahkan akan mengenakan caj transaksi kepada pengguna aplikasi tersebut berkuat kuasa 1 November depan. - Gambar hiasan

KEPUTUSAN untuk mengenakan caj transaksi QR DuitNow dibimbangi akan memberi implikasi domino terhadap sektor perniagaan negara terutamanya kepada peniaga kecil dan sederhana.

Hal ini kerana, rata-rata peniaga terkejut dan tidak bersetuju dengan berita baharu itu dan menganggap ia sebagai bebanan kepada mereka.

Iklan
Iklan

Lebih membimbangkan, kemungkinan besar peniaga terpaksa mengenakan bayaran kepada pengguna untuk menampung kos caj transaksi tersebut.

Dalam situasi ekonomi negara kini, banyak kemungkinan boleh berlaku dan perlu diteliti dari segala aspek merangkumi semua lapisan masyarakat.

Iklan

Jika tiada tindakan diambil dan peniaga akhirnya mengenakan caj kepada pelanggan maka, sasaran kerajaan untuk menjadikan masyarakat tanpa tunai dalam negara akan musnah kerana sudah pasti mereka memilih untuk berbelanja menggunakan tunai.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), pengendali DuitNow QR mengesahkan akan mengenakan caj transaksi kepada pengguna aplikasi tersebut berkuat kuasa 1 November depan.

Iklan

Katanya, sewaktu aplikasi DuitNow QR diperkenalkan pada tahun 2019, pengendali tidak mengenakan sebarang caj kadar diskaun pedagang atau ‘merchant discount rate’ (MDR).

"Pengecualian pembayaran itu kemudiannya dilanjutkan berikutan penularan wabak Covid-19 dan ia bukan bayaran baharu mahupun tambahan sebaliknya MDR yang sepatutnya dilakukan sembilan bulan lalu," katanya.

Dalam pada itu, berkenaan isu caj RM0.50 untuk urus niaga melebihi RM5,000, PayNet berkata, bayaran tersebut dikenakan untuk pemindahan dana rakan setara (peer-to-peer) daripada QR peribadi ke QR peribadi lain.

"Ini sama sekali tidak berkaitan dengan pembayaran QR pertama yang disebut kepada pedagang dan dalam keadaan apa pun kedua-dua yuran tidak akan dikenakan untuk transaksi sama,” ujarnya.

Walaupun pihak PayNet telah menafikan e-pembayaran yang dibuat melalui aplikasi tersebut tidak akan menjejaskan harga barang dan perkhidmatan, namun sejauh mana jaminan itu mampu bertahan kerana banyak kos lain perlu ditanggung oleh peniaga.