Proses pemutihan tahfiz bukti isu keselamatan tidak boleh dikompromi

Iklan
Kerajaan Selangor sebelum ini mengambil langkah proaktif sejak tahun 2019 lagi bagi menyediakan garis panduan pemutihan tahfiz dan sekolah agama persendirian yang diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor pada Disember 2020 dan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2021. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Polemik pusat tahfiz negara khususnya berkaitan isu kebajikan, keselamatan mahupun perihal mengeksploitasi pelajarnya sekian lama menjadi debat hangat dan masih belum nampak titik noktahnya.

Malah, saban waktu ada sahaja kisah menyayat hati dan menggemparkan negara yang melibatkan institusi tahfiz dan terkini, kebakaran di asrama lelaki sebuah pusat tahfiz di Kampung Medan Telok Panglima Garang (Kuala Langat) pada Julai lepas.

Iklan
Iklan

Biarpun pusat tahfiz ini berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), namun insiden seperti ini masih lagi berlaku dan apa yang lebih membimbangkan ialah sekiranya institusi pendidikan tahfiz ini diwujudkan tanpa pemantauan berikutan tidak mendaftar dengan mana-mana pihak berwajib.

Dianggarkan terdapat sekitar 1,000 pusat pengajian tahfiz tidak berdaftar di seluruh negara manakala di Selangor sahaja sekitar 800 tahfiz persendirian tidak didaftarkan, sehingga menimbulkan kebimbangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu semua sekolah tahfiz di negeri itu didaftarkan melalui program pemutihan.

Iklan

Biarpun begitu, timbul persoalan mengapa Selangor masih lagi dibelenggu masalah pusat tahfiz tidak berdaftar yang agak tinggi walhal kerajaan negeri telah pun menambah baik garis panduan yang digunakan dalam program pemutihan bagi memudahkan pemilik mendaftar tahfiz mereka.

Kerajaan Selangor sebelum ini mengambil langkah proaktif sejak tahun 2019 lagi bagi menyediakan garis panduan pemutihan tahfiz dan sekolah agama persendirian yang diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor pada Disember 2020 dan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2021.

Iklan

Namun, sehingga ke hari ini, usaha tersebut masih lagi belum berkesan menoktahkan kewujudan pusat tahfiz tidak berdaftar dan hasil temu ramah dengan beberapa pakar, mereka berpandangan pemilik pusat berkenaan masih lagi ‘agak berat’ untuk mematuhinya.

Permudahkan pendaftaran

Pensyarah kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Zainora Daud memberitahu Bernama, syarat, piawaian dan garis panduan yang ditetapkan mungkin sukar dipenuhi menyebabkan pemilik tahfiz gagal mendaftarkan premis masing-masing.

"Contohnya, kos agak tinggi diperlukan bagi mendapatkan kebenaran merancang dan pelan pembangunan diperakui PBT (pihak berkuasa tempatan), jadi bagaimana mereka ini boleh mendaftar kerana kebanyakan pusat tahfiz persendirian dibuka hasil usaha perseorangan serta sumbangan komunti jadi sumber kewangan itu tidak kukuh.

"Kerana itu, keterlibatan pihak berkaitan dalam menangani isu ini sangat penting. Misalnya, di Selangor, kewujudan pusat tahfiz sangat rancak berbanding negeri lain, begitu juga dengan persatuan tahfiznya sangat aktif dan kerana itu proses pemutihan ini (pendaftaran) perlu dipermudahkan,” katanya.

Keperluan untuk garis panduan dalam program pemutihan institusi tahfiz di negeri ditambah baik turut ditekankan Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS) Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa bagi membantu kelangsungan operasi tahfiz atau sekolah agama persendirian di Selangor.

Buat masa ini, beberapa pihak termasuk JAIS dan PBT sedang dalam proses menambah baik garis panduan sedia ada bagi membantu memudahkan pemilik mendaftarkan tahfiz mereka.

Antara penambahbaikan itu termasuk mensyaratkan premis tahfiz sekurang-kurangnya mempunyai ciri keselamatan asas termasuk tangga, laluan keluar-masuk serta alat pemadam kebakaran.

"Garis panduan (bagi program pemutihan pendaftaran yang ditambah baik) berada di tahap akhir dan dijangka dibentangkan kepada kerajaan negeri paling lewat pada awal tahun depan (2024).

"Kita harap, bermula tahun depan mana-mana premis tahfiz yang masih belum berdaftar dapat didaftarkan,’’ katanya yang menjelaskan, PITAS turut terlibat secara langsung dalam program pemutihan berkenaan.

Memperkasakan institusi tahfiz

Bernama turut mengajukan persoalan yang membelenggu pusat tahfiz negara kepada Exco Hal Ehwal Agama Islam, Industri Halal, Infrastruktur Digital serta Pembiayaan Sains, Teknologi, Inonvasi (STI) Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan beliau berkata, pihaknya komited meneruskan usaha membantu pendaftaran institusi agama persendirian untuk kekal beroperasi di negeri ini.

Malah, beliau turut memberi jaminan bahawa proses pemutihan tahfiz akan terus dilaksanakan, sekali gus memastikan premis tahfiz di negeri Selangor mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta syarat yang ditetapkan bagi melindungi nyawa pelajar.

Di samping itu, ibu bapa juga diingatkan tidak merisikokan nyawa anak-anak mereka dengan menyemak terlebih dahulu pusat tahfiz sama ada berdaftar atau sebaliknya dengan JAIS bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.

"Kita akan usahakan semua institusi ini berdaftar untuk mudahkan pemantauan dan menyalurkan bantuan. Sekiranya tidak berdaftar, akan berlaku perkara tidak diingini sehingga timbulnya masalah dan kami faham konsep orang berniaga tidak mahu keluar kos tinggi tetapi mahu untung cepat,’’ katanya yang mengangkat sumpah sebagai exco baharu Selangor pada 21 Ogos lepas selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor lepas.

Proses pemutihan ini juga perlu dilihat dari sudut positif bagi memperkasakan institusi tahfiz di Malaysia dan bukannya untuk menyekat usaha dakwah atau menutup mana-mana pusat tahfiz sepertimana yang didakwa sesetengah pihak.

Sebelum ini, hangat diperkatakan kerajaan Selangor mahu menutup kira-kira 200 pusat tahfiz di negeri itu, namun, dinafikan kerajaan negeri yang menyifatkannya sebagai tidak berasas, sedangkan usaha tersebut adalah seiring dengan titah Sultan Selangor yang mahu institusi berkenaan selamat dan mempunyai pembelajaran selesa.

Menurut Zainora, langkah ini juga seiring dengan Dasar Tahfiz Negara yang memerlukan penglibatan semua pihak dalam menghadapi dan menangani isu serta cabaran semasa berkaitan pendidikan tahfiz berikutan keselamatan dikenal pasti faktor utama diambil kira dalam menangani pusat tahfiz tidak berdaftar.

"Dalam aspek penaziran dan garis panduan, isu keselamatan antara yang penting dan kita mahu pemilik tahfiz bertanggungjawab menyediakan premis yang selesa dan selamat kerana kebanyakannya beroperasi di rumah kedai, tapak pertanian atau kawasan terpencil,” katanya yang juga tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan mengarah anak tahfiz mengutip derma.

Lambakan pelajar bermasalah

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pelajar Islam Selangor (Pepias), Nabil Nur Akmal berpandangan, selain memberi penekanan kepada program pemutihan tahfiz, satu garis panduan pengambilan pelajar ke tahfiz atau sekolah agama persendirian perlu dilakukan.

Ini, katanya, bagi mengelakkan wujudnya persepsi negatif kepada institusi berkenaan sebagai tempat pelajar bermasalah semata-mata.

"Antara komponen yang boleh dijadikan sebagai garis panduan adalah potensi intelektual, jasmani dan akhlak pelajar seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang masih dirujuk sehingga ke hari ini.

"Kerajaan negeri juga perlu menggesa institusi tahfiz dan sekolah agama persendirian untuk memohon tauliah mengajar bagi guru-guru mereka selain pihak berkuasa perlu melakukan pemantauan terhadap silibus yang dilaksanakan bagi mengelakkan agar tidak berlakunya isu penyelewengan akidah,” katanya. - Bernama