JULAU - Seorang lelaki kelainan upaya (OKU) rentung manakala seorang wanita melecur dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah panjang di Lasi di sini.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Hendery Ardimanshah berkata, identiti mangsa yang rentung dikenal pasti sebagai August Pasang, 49 tahun.
Terdahulu, bomba dimaklumkan tentang kebakaran membabitkan Rumah Panjang Micheal Marau di Sungai Sejugam, Lasi ini sekitar jam 4.26 petang Khamis, dan segera mengatur gerak sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor ke lokasi.
"Setibanya di lokasi, pasukan mendapati api sedang marak memusnahkan rumah panjang 36 pintu yang berstruktur tidak kekal tersebut.
"Proses pemadaman kemudian dilakukan dengan bantuan dua aliran air, yang diperolehi daripada sumber sungai dan tangki jentera.
Proses tersebut, kata Hendery, tertumpu kepada bahagian kiri, tengah, serta kanan rumah panjang tersebut, sehingga api reda dan terpadam.
Berdasarkan maklumat penduduk katanya, pasukan kemudian melakukan pencarian mangsa sebelum menemui satu mayat rentung di pintu rumah panjang bernombor 33, sekitar jam 5.30 petang.
Proses pemadaman ujarnya lagi, berakhir sekitar jam 9.45 malam.
"Siasatan dan aktiviti forensik bagaimanapun masih berlangsung untuk mengenal pasti punca dan taksir kerugian," tambahnya lagi.
Rumah panjang tersebut dihuni sekitar 189 penduduk, tetapi ramai yang tidak berada di lokasi kejadian ketika insiden malang ini berlaku. - Awani