KISAH iblis bersumpah dengan ALLAH SWT untuk menyesatkan anak dan cucu Adam sememangnya tidak perlu diceritakan lagi. Sesungguhnya, iblis dan syaitan merupakan musuh utama manusia.
Segala peristiwa itu dirakamkan dalam al-Quran. Bahkan, hadis Rasulullah SAW juga banyak mengingatkan kita tentang tipu daya makhluk ALLAH yang dilaknat tersebut.
Bercakap tentang perkara itu, terdapat dialog masyhur antara Rasulullah SAW dengan iblis yang memberitahu segala rahsia syaitan termasuk perkara disukai dan dibencinya.
Ketahuilah bahawa ia sebenarnya bukanlah hadis Rasulullah SAW, bahkan tiada langsung sumber yang memerihalkan tentangnya.
Perkara itu ditegaskan oleh Prof Madya di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Nurazmallail Marni kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Bahkan, jelas beliau, dialog berkenaan dinilai sebagai hadis maudhu’ yang direka dan disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW.
"Ulama menyatakan, haram bagi kita meriwayatkan hadis palsu apabila diketahui keadaannya (palsu) melainkan bagi menjelaskan tentang kepalsuannya.
"Kesimpulannya, kisah soal jawab dan perbualan panjang antara iblis dan Rasulullah SAW adalah palsu dan tidak benar sama sekali. Malah, haram untuk menyebarkannya kecuali dengan tujuan sepertimana yang saya nyatakan tadi,” ungkapnya.
Sebelum mengulas panjang lebar tentang belitan dan tipu daya makhluk terkutuk itu, Dr Nurazmallail terlebih dahulu mengajak kita memahami perbezaan antara iblis dan syaitan.
Ujar beliau, syaitan ialah makhluk yang sangat jahat dan suka menyesatkan manusia.
"Dalam al-Quran, perkataan iblis dan syaitan banyak berulang kali disebutkan menerusi ayat-ayat yang berlainan. Kalimah iblis disebut dalam bentuk kata tunggal sebanyak 11 kali, manakala syaitan pula disebut dalam kata tunggal dan jamak sebanyak 18 kali,” katanya.
Uji tahap keimanan
Tiada yang sia-sia dalam setiap penciptaan ALLAH SWT. Ia termasuklah iblis dan syaitan.
Jelas Dr Nurazmallail, DIA menciptakan makhluk berkenaan untuk menilai tahap keimanan manusia kepada-NYA.
"Sesiapa yang mudah terpedaya dengan ajakan (seruan) syaitan, maka ALLAH akan membalas dengan azab sengsara yang pedih di dunia dan akhirat.
"Bagi orang yang berbuat baik dan berjaya menyekat atau menghalang kejahatan makhluk terkutuk itu pula, ALLAH SWT akan memberikan mereka penghargaan tidak terkira. Malah, dikurniakan balasan syurga dan kehidupan yang tetap bahagia,” ungkapnya.
Pun begitu, ujar ahli akademik itu, ALLAH SWT tidak akan menguji manusia dengan berlebih-lebihan daripada kemampuan mereka.
"Sementelah dikatakan orang yang dirasuki syaitan atau jin jahat sebenarnya ialah mereka yang mempunyai kelemahan dalam iman, di samping jiwa raganya yang kosong dan lemah rohani, zahir dan batinnya hingga mudah bagi makhluk berkenaan mendekati orang yang mempunyai sifar sedemikian. Ia mudah menjadi perumah bagi syaitan,” ujarnya.
Penulis yakin ramai yang tertanya-tanya bagaimana pendekatan belitan ataupun tipu daya iblis dalam misinya menyesatkan manusia.
Ketika dilontarkan pertanyaan tersebut, Dr Nurazmallail kemudian menyenaraikan 14 helah yang digunakan seperti berikut:
i. Muncung atau paruhnya yang membuatkan manusia lupa.
Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya syaitan itu meletakkan muncungnya di atas hati anak Adam, jika manusia ingat kepada ALLAH, maka mundurlah ia dan jika manusia itu lupa kepada ALLAH, maka dipatuklah hatinya." (Hadis Riwayat Ibn al-Jauzi)
ii. Tangisan.
Nabi Muhammad SAW bersabda: "Apabila anak Adam membaca Surah as-Sajdah, lalu ia sujud nescaya menyingkirlah syaitan sambil menangis dengan meratap:"Ah..celakalah aku, anak Adam disuruh sujud, lalu ia sujud maka ia mendapat syurga, tetapi aku disuruh sujud maka membantah, maka aku mendapat neraka." (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan Ibn Majah)
iii. Kencing.
Ibn Masud berkata, diceritakan (ALLAH) kepada Nabi Muhammad SAW tentang seseorang lelaki yang tidur hingga Subuh. Sabda Baginda SAW:"Itulah orang lelaki yang dikencingi oleh syaitan pada kedua telinganya." (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
iv. Ketawa.
Nabi Muhammad SAW bersabda: "Apabila menguap salah seorang kamu dalam solat, maka hendaklah ia menutup mulutnya sedapat mungkin dan jangan ia mengucap"Ahh...", kerana sesungguhnya yang demikian itu daripada syaitan dan ia tertawa kerananya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)
v. Mempunyai rambut berserta janggut yang penuh kusut panjang tidak kemas.
Daripada Atha' bin Yasir, beliau berkata: Telah datangnya lelaki kepada Rasulullah SAW dalam keadaan kusut rambut dan janggutnya, maka Rasulullah memberi isyarat kepada lelaki ituseakan-akan disuruhnya meluruskan janggut dan rambutnya. Maka orang itu melaksanakannya, kemudian ia kembali lalu Banginda SAW bersabda: "Bukankah ini lebih baik daripada seseorang yang datang dengan kusut rambutnya seperti syaitan." (Hadis Riwayat Malik)
vi. Menyilangkan dan mematah-matahkan jari tangan.
Nabi Muhammad SAW bersabda:"Apabila salah seorang kamu berada di dalam masjid, maka janganlah sesekali menyilangkan (mematah-matahkan) jari tangan, kerana menyilangkan jari-jari tangan itu daripada syaitan. Seorang kamu tetap dalam pahala solat selama ia berada di dalam masjid sehingga ia keluar darinya." (Hadis Riwayat Ahmad)
vii. Aliran darah manusia.
Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam diri manusia mengikuti perjalanan darah. Oleh sebab itu aku takut syaitan melontarkan sesuatu tuduhan atau satu kejahatan dalam hatimu." (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
viii. Hentakan kaki syaitan menyebabkan wanita istihadah (mengeluarkan darah haid berlebihan walaupun dalam keadaan sihat).
Dari Amnah binti Jahsy bahawa ia keluar darah banyak dan deras mengalir daripada kemaluannya (darah istihadah) lalu ditutup dengan kapas masih juga keluar dan ditutup dengan kain masih juga keluar. Rasullullah bersabda:"Sesungguhnya darah yang keluar deras itu adalah salah satu hentakan kaki daripada hentakan-hentakan kaki syaitan."(Hadis Riwayat Ahmad, Abi Daud dan at-Tirmizi)
ix. Menyelit dalam saf solat yang renggang.
Sabda Rasullullah SAW:"Luruskan saf-safmu, rapatkan bahu-bahumu (dalam solat) dan berlaku lembutlah terhadap tangan-tangan saudaramu dan tutuplah tempat-tempat renggang kerana seungguhnya syaitan masuk menyelitkan diripada celah-celahmu, bagaikan anak kambing yang menyelit di celah-celah induknya." (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Tabarani).
x. Menghalang khusyuknya solat seseorang.
Daripada Aisyah RA berkata: Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang melihat ke mana-mana arah tanpa keperluan maka Nabi Muhammad SAW bersabda: "Itu adalah curian cepat yang dicuri syaitan daripada hamba-NYA". (Hadis riwayat al-Bukhari, Ahmad, An-Nasa’i dan, Abu Daud)
Begitu juga dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Akan datang syaitan pada seseorang kamu dalam solatnya,lalu syaitan mengingatkan kepadanya,keperluan begini dan begitu, maka janganlah ia menurutinya. Syaitan datang pula pada waktu tidurnya, maka syaitan memberikan berita mimpi buruk padanya, maka janganlah diikutinya (mempercayainya)". (Hadis Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)
xi. Mimpi buruk.
Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud:"Apabila seseorang kamu bermimpi yang tidak disukai (mimpi buruk), maka hendaklan ia meludah ke sebelah kiri sebanyak tiga kali dan hendaklah membaca: A'uzubillah hi minasyaitan nir rajim maksudnya:"Aku berlindung dengan ALLAH daripada syaitan yang direjam". Dan hendaklah ia berpindah daripada lambungnya ketika hendak tidur yang ia sedang ada di atasnya." (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, An-Nasa’i, dan Ibnu Majah)
xii. Syaitan mencelak mata para pendengar ceramah agama atau khutbah supaya mereka tertidur dan tidak menghayati apa yang dibutirkan oleh penceramah.
xiii. Syaitan mengincu bibir para pendengar ceramah supaya berbual-bual dengan temannya dan mengeluarkan kata-kata kesat.
xiv. Syaitan mengetuk para pendengar ceramah dengan tongkatnya supaya mereka dapat membuat bising dan tidak duduk diam, selain melakukan kekacauan dan kekalutan.
Waspada jarum-jarum halus
Melihat kepada taktik disenaraikan, jelaslah bahawa iblis dan syaitan tidak pernah lelah menyesatkan manusia sekalipun ketika hendak dan sedang mengerjakan ibadah.
Langkah itu seterusnya membolehkan iblis menguasai manusia dalam pelbagai ibadah, terangnya.
"Antara gambaran kehalusan tipu daya iblis agar kita terhindar daripadanya ketika sedang menunaikan solat terutamanya adalah belitan waswas yang membelenggu manusia pada soal kebersihan dan kesucian pakaian untuk mendirikan solat.
"Ia sehinggakan kita membasuhnya berulang kali semata-mata kerana baju digunakan tercemar akibat disentuh oleh orang lain atau terkena titisan air.
"Iblis juga mencucukkan jarum-jarum halusnya untuk melencongkan kita daripada menunaikan kewajipan terutamanya solat dengan cara menimbulkan keraguan pada niat sembahyang sehinggakan ada yang mengulangi niat solatnya berulang kali,” ungkapnya.
Bagi menyelamatkan diri daripada tipu daya syaitan, pensyarah itu menitipkan pesanan Imam al-Ghazali supaya setiap mukmim menutup semua jalan masuk hingga iblis.
"Antara lain adalah pintu amarah dan syahwat; dengki dan iri hati, makan dan minum secara berlebihan; cintakan dunia, tergesa-gesa serta pintu buruk sangka kepada sesama umat Islam,” ungkapnya.