SHAH ALAM - Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) meraikan kira-kira 30 anak yatim dan asnaf dari Sekolah Kebangsaan Seksyen 16 dan 19 Shah Alam dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, program anjuran bersama Karangkraf dan Sinar Harian adalah acara tahunan yang memasuki tahun ke-5, tahun ini.
Menurutnya, Alam Flora tidak lupa menunaikan kewajipan sosial korporatnya membantu golongan memerlukan selain menguruskan perkhidmatan pembersihan di beberapa negeri.
"Masih banyak orang susah dalam negara. Dalam lawatan di Kelantan baru-baru ini, tiga keluarga yang daif dibantu menerusi keperluan makanan dan perabot.
"Insya-ALLAH walaupun bukan di bawah pentadbiran Alam Flora, kita tetap meneruskan kerja kebajikan membantu golongan memerlukan ke seluruh pelusuk negara bagi memastikan golongan susah ini disantuni," katanya tadi.
Turut hadir, Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali.
Majlis dimulakan dengan sesi tazkirah Ramadan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail disusuli sumbangan duit raya dan cenderamata kepada anak-anak yang diraikan.
Mohd Zain berharap sumbangan disalurkan dapat meringankan beban kumpulan memerlukan untuk membeli kelengkapan perayaan menyambut Syawal.