CAMERON HIGHLANDS - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pelancong warga India, Nanda Suresh Nadkarni, 44, yang dilaporkan hilang di Gunung Jasar, Tanah Rata, di sini diteruskan pada Jumaat.
Operasi SAR yang memasuki hari ke lima melibatkan 93 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi itu dengan fokus pencarian di kawasan aliran anak sungai dan cerun bukit.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli berkata, hari keempat pencarian pada Khamis, kawasan pencarian diperluas hingga ke kawasan Habu Heights dan sempadan negeri Perak.
Menurutnya, misi pencarian turut melibatkan Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pasukan Khas Pertahanan Awam (Paspa).
"Selain itu, khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bomba dan polis turut digunakan dalam operasi tersebut," katanya.
Azri berkata, pihaknya berharap ada perkembangan positif daripada pasukan penyelamat yang menyertai pencarian pada hari kelima ini.
Pendaki warga India itu dilaporkan hilang sejak 22 September lalu selepas keluar dari hotel penginapan sendirian dipercayai untuk mendaki Gunung Jasar.
Mangsa yang mendaftar masuk hotel berkenaan pada 19 September dan sepatutnya mendaftar keluar 24 September lalu bagaimana pun sehingga jam 12 tengah hari hari berkenaan mangsa didapati tidak mendaftar keluar.
Kehilangan mangsa kemudiannya dilaporkan kepada polis sebelum operasi SAR melibatkan pelbagai agensi digerakkan.