Rakyat Malaysia sering dikejutkan dengan penghinaan atau sindiran agama daripada kalangan orang bukan Islam mahupun umat Islam sendiri.
Situasi ini berlaku kerana individu atau kumpulan tersebut tidak menyukai Islam, takut kepada Islam, atau bimbang tentang pengaruh agama Islam.
Jadi, dengan membuat sindiran sebegitu, mereka percaya boleh menjatuhkan imej Islam, merendahkan moral umat Islam dan akhirnya menghancurkan pengaruh Islam.
Pada hari ini, kita mengakui bahawa media sosial banyak menyumbang ke arah usaha mempromosikan Islamophobia, namun dalam masa yang sama juga ia juga berpotensi mewujudkan suasana aman melalui komunikasi antara orang Islam dan bukan Islam yang menetap di negara ini di bawah pemerintahan demokrasi berparlimen.
Apa itu Islamophobia?
Istilah ‘Islamophobia’ pertama kali muncul dalam majalah ‘Insight‘ berkala Amerika Syarikat pada 4 Februari 1999. Walaupun istilah Islamophobia mempunyai beberapa definisi, sesetengah pengkritik percaya ia masih berbahaya. Istilah ‘Islamophobia’ tidak sepenuhnya menyampaikan keluasan dan kedalaman permusuhan terhadap Islam atau umat Islam di dunia Barat hari ini.
Istilah yang lebih tepat ialah ‘perkauman anti-Islam,’ kerana ia merangkumi kedua-dua kebencian terhadap agama dan diskriminasi yang disengajakan terhadap penganutnya. Islamophobia diterjemahkan sebagai ‘takut kepada Islam’.
Selain itu, ia berkaitan dengan sentimen anti-Islam. Islam adalah agama yang tetap dengan ajaran yang tidak berubah kecuali dalam keadaan tertentu. Sedangkan umat Islam adalah individu seperti manusia penganut agama lain yang sikapnya sentiasa berubah. Sesekali ajaran Islam dipatuhi, begitu juga sebaliknya. Namun begitu, kedua-duanya mempunyai ikatan yang rapat dengan Islam. Dilihat, frasa ini terpakai lebih khusus setelah berlakunya peristiwa 11 September 2001.
Kesan terhadap Islamophobia
Berikutan tragedi 11 September 2001, serangan pengganas, sentimen anti-Islam dan Islamophobia di dunia Barat telah mendapat perhatian ilmiah yang ketara.
Istilah Islamophobia kononnya dicipta pada akhir 1980-an untuk menyatakan ketakutan ini terhadap Islam dan umat Islam sebagai kumpulan pengganas. Selain itu, banyak penyelidikan dan penerbitan menunjukkan peningkatan terhadap Islamophobia dalam beberapa komuniti majoriti Barat dan isu tersebut juga berlaku di negara ini.
Kesan psikologi Islamophobia ditakrifkan sebagai pengaruh berbahaya ke atas mood, tingkah laku dan emosi seseorang individu akibat daripada mengalami beberapa jenis Islamophobia.
Permusuhan anti-Islam sebagai serangan lisan dan fizikal terhadap orang Islam, serangan ke atas masjid, naratif yang lazim dan rutin dalam media arus perdana serta diskriminasi pekerjaan.
Islamophobia mempunyai kesan buruk terhadap kehidupan masyarakat, ahli keluarga, dan umat Islam.
Walaupun jumlah Islamophobia mempengaruhi individu berbeza-beza, namun begitu orang Islam di Malaysia mempunyai tahap tekanan, kebimbangan dan kemarahan yang tinggi.
Peranan media sosial dalam menangani Islamophobia
Media sosial memainkan peranan yang besar dalam usaha membantu mengubah naratif mengenai Islamophobia. Segenap masyarakat merupakan sebahagian daripada rangkaian bagi membina komuniti yang lebih inklusif, bagi menamatkan Islamophobia. Media baharu seperti Internet boleh digunakan untuk berkomunikasi serta penyampaian mesej secara berterusan dan berkesan.
Pertumbuhan media sosial telah menyelubungi penduduk dalam talian negara dengan penciptaan Facebook, Twitter, Linked In, YouTube, TikTok, blog, Bigo dan lain-lain. Penggunaan media sosial telah menjadi fenomena masyarakat khususnya di kalangan orang muda, sama ada ia mendatangkan manfaat atau sebaliknya.
Antara isu-isu yang mempunyai unsur-unsur pengaruh Islamophobia adalah seperti berikut:-
- Penghinaan terhadap agama Islam
- Isu tulisan jawi
- Isu pendakwah Zakir Naik
- Penggunaan kalimah Allah
- Penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W
- Gerakan Kumpulan G25
Pengaruh Islamophobia Di Malaysia
Penyebaran pengaruh Islamophobia yang menggalakkan kebencian, tanggapan negatif dan prejudis terhadap Islam melalui media sosial amat membimbangkan jika tidak ditangani dengan serius.
Malaysia mempunyai identiti tersendiri kerana Islam merupakan agama rasmi Persekutuan. Perkembangan pesat teknologi maklumat telah mengubah cara hidup masyarakat, budaya baharu, pola corak pemikiran serta tingkah laku masyarakat.
Dilihat, media sosial mempunyai kuasa yang dapat mempengaruhi pemikiran seseorang serta mampu mendatangkan impak yang pantas dan berkesan.
Media massa memberi impak positif kepada masyarakat kerana ia membolehkan orang ramai belajar dengan lebih cepat. Kesannya, masyarakat akan lebih peka terhadap isu-isu semasa. Selain itu, ia mempunyai kesan yang cukup besar terhadap kognitif seperti penciptaan sikap, iaitu peristiwa yang berlaku di persekitaran melibatkan ekonomi, politik dan sosial.
Ia membuktikan bahawa masyarakat boleh dipengaruhi oleh media massa apabila mereka bertindak balas secara positif.
Maklumat, pesanan, pendapat, khabar angin, gosip dan propaganda, semuanya disebarkan kepada masyarakat umum melalui media arus perdana.
Pengaruh negatif Islamophobia dalam kalangan rakyat Malaysia dilihat telah dibantu oleh kemasukan saluran media asing. Justeru, segelintir mereka yang mendengar saluran luar secara tidak langsung akan terpengaruh dengan pandangan yang diutarakan oleh media asing.
Pertumbuhan sosioekonomi juga terjejas oleh Islamophobia. Diskriminasi terhadap orang Islam dalam bidang pendidikan, tempat kerja, peluang pekerjaan dan perubahan ekonomi yang mempunyai pengaruh ke atas kehidupan umat Islam.
Hak asasi manusia boleh diabaikan sehingga menyebabkan pembangunan sosio-ekonomi sesebuah negara terganggu. Hal ini juga boleh membawa kesan mental dan fizikal yang melampau jika tidak ditangani dengan lebih berhemah dan berkesan.
Konsep Wasatiyah mampu ubah persepsi Islamophobia
Islamophobia bukanlah fenomena baru pada abad ke-21. Berdasarkan manifestasi dan kesan Islamophobia terhadap kehidupan, emosi, fizikal, dan sosioekonomi umat Islam, usaha pintar dan gigih untuk menyelesaikan isu ini perlu berterusan.
Inisiatif bersepadu berdasarkan kerjasama merentas sektor dan rangkaian yang kukuh akan memastikan usaha memerangi Islamophobia dapat dilakukan dengan jayanya.
Setiap masyarakat berbilang kaum dan agama mesti memupuk rasa hormat dan toleransi dalam masyarakat majmuk.
Pihak bertanggungjawab terhadap dakwah Islam mesti menumpukan sejumlah besar tenaga untuk pelbagai aktiviti dan program bertujuan memerangi agenda Islamophobia.
Pendekatan yang perlu diambil mestilah berlandaskan ‘Konsep Wasatiyah,’ kesederhanaan dan mestilah berbentuk pendidikan serta dakwah.
Konsep Wasatiyah akan mampu mengubah persepsi masyarakat dan dunia terhadap kemurniaan agama Islam.
Kerjasama dari semua pihak termasuk masyarakat Islam dan bukan Islam sebagai agen pengharmonian agar kestabilan, kemakmuran dan keamanan dapat direalisasikan.