PASIR SALAK - Beli beras hanya ikut keperluan keluarga pada kadar dua kampit sebulan, saran Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata, rakyat tidak perlu terikut-ikut membuat pembelian panik dalam jumlah yang besar kerana langkah itu boleh merencatkan usaha kerajaan mengawal keperluan bahan itu di pasaran.
Menurutnya, komitmen kerajaan ketika ini untuk memastikan rakyat mendapat bekalan beras mencukupi terutama menerusi inisiatif Jualan Rahmah Beras di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
"Jangan ada pembelian panik kerana beras itu ada. Jika perlu dua kampit sebulan, belilah dua kampit, bulan depan beli lagi.
"Dengan pembelian ini (ikut keperluan), dapatlah kita kawal di pasaran, Fama, LPP dan KPDN yang terlibat dalam jualan beras Rahmah dapat mainkan peranan untuk tambah mana-mana yang berlaku kekurangan.
"Kalau beli sampai empat ke lima (kampit beras), simpan sampai ke tiga bulan depan pun beras akan rosak, dimakan bubuk dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ladang Kekal Pengeluaran Benih Padi Felcra di Seberang Perak dekat sini pada Jumaat.
Mohamad berkata, kerajaan tidak berdiam diri dalam menangani bekalan beras putih tempatan dan telah merangka beberapa usaha jangka panjang termasuklah meningkatkan pengeluaran hasil padi negara.
Langkah itu katanya, termasuklah memperbanyakkan program Sawah Berskala Besar (SBB), menjalinkan kerjasama bersama syarikat swasta untuk projek tanaman padi di Sabah dan Sarawak dan permohonan agar pengeksportan beras putih dari India diteruskan ke negara ini.
"Jadi usaha kerajaan adalah ke arah mencukupkan beras di Malaysia, ini masalah yang dihadapi dan kerajaan sedang menanganinya," katanya.
Pada sesi lawatan kerjanya di Parlimen Pasir Salak, Mohamad diberi taklimat berkaitan kerja-kerja menaik taraf tali air sekunder TA-1, TA-2 dan TA-5 di Skim Pengairan Sungai Manik di bawah seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak.
Projek dengan kos RM29.66 juta itu meliputi kerja-kerja menaik taraf tali air sekunder sepanjang 19 kilometer, menaik taraf sistem pengairan dan saliran serta pembinaan jalan ladang.
Mohamad sebelum itu turut menyampaikan bakul makanan melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kementerian kepada 50 pesawah.