HULU BERNAM - Beberapa peruncit di Hulu Bernam dibekalkan beras tempatan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi mengatasi isu bekalan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Muiz Mahyuddin berkata, sebanyak tujuh lokasi kedai runcit disediakan bekalan tersebut membabitkan Bharati Fresh Mart Besar Hulu Bernam dan Zaidi Value Mart di Hulu Bernam.
Menurutnya, bekalan juga turut diedarkan ke Kalumpang membabitkan Pasar Mini Salman dan Kedai Serbaneka Jimat.
"Semoga usaha ini dapat membantu sebahagian kita yang betul-betul memerlukan sementara isu bekalan beras putih tempatan ini dapat dipulihkan," kongsi beliau di Facebook rasminya.
Kebelakangan ini, beras tempatan hadapi kekurangan stok selepas lonjakan harga beras import menyebabkan pengguna beralih ke beras tempatan yang masih dikawal harga.
Sebagai langkah intervensi, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) telah menawarkan jualan Beras Ehsan di tujuh lokasi.
Ketua Pegawai Eksekutif PKPS, Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, beras dengan kuantiti lima kilogram (kg) itu dijual hanya pada harga RM13 sekampit di premis jualan PKPS manakala di lokasi Jualan Ehsan Rahmah (JER) kekal pada harga RM10.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini turut memberi keyakinan keperluan beras putih tempatan di Selangor mencukupi sehingga penghujung September ini.
Ia berdasarkan kapasiti pengeluaran beras di negeri itu adalah 138,903.13 tan metrik setahun dengan keluasan tanaman padi sebanyak 18,061.53 hektar melibatkan 6,871 pesawah.
Jelas Amirudin, bekalan beras putih tempatan akan mula stabil bermula Oktober dengan pengeluaran semula padi di utara Semenanjung Malaysia serta negeri Selangor yang mula dituai.
.