ALOR GAJAH - Kerajaan negeri bakal mengumumkan berita baik pemberian khas sempena Hari Raya Aidilfitri kepada lebih 5,000 penjawat awam negeri ini.
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, jumlah pemberian bonus itu telah ada dan akan dimuktamadkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada pagi esok.
Menurutnya, beliau juga berusaha mencari fomula yang lebih baik mengenai pemberian tersebut agar jumlah yang diterima oleh golongan berkenaan lebih baik berbanding tahun lalu.
"Esok kita akan memuktamadkan dan kita sudah ada jumlahnya, jadi akan dibawa ke mesyuarat.
"Menjelang esok, kita akan umumkan berita baik itu dan kemungkinan akan diumumkan menerusi kenyataan media," katanya.
Adly berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan Ramadan dan Majlis Iftar Parlimen Masjid Tanah di Masjid Umar Al-Khattab, Lendu, di sini tadi.
Hadir sama, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Penyelaras DUN Ridhuan Affandi Abu Bakar.
Adly yang juga ADUN Bukit Katil berkata, sumbangan anjuran Jabatan Ketua Menteri itu diberikan kepada 150 penerima yang terpilih dalam setiap Parlimen dengan jumlah keseluruhan penerima seramai 900 orang membabitkan enam Parlimen.
"Sempena bulan Ramadan, sebagai tanggungjawab kita memberikan sumbangan dengan melaksanakan mengikut Parlimen yang sebelum ini diadakan di Parlimen Jasin dan kali ini di Masjid Tanah bagi mengurangkan beban mereka menjalani ibadah Ramadan dan Syawal akan datang," katanya.
Pada program itu, seramai 150 orang yang kurang bernasib baik termasuk golongan asnaf, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan makanan.