Noh Salleh, Ernie Zakri dan Atilia Haron jadi pilihan Payung Teduh

Iklan
Noh Salleh, Atilia Haron (gambar kecil kiri), Ernie Zakri dan bakal menghangatkan Konsert Senandung Malam - Payung Teduh X Sore (Setengah Lima Menuju Senja) yang bakal diadakan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 30 September ini.

PELAKON terkenal, Nabila Huda berkongsi khabar gembira buat peminat yang akan hadir menyaksikan Konsert Senandung Malam - Payung Teduh X Sore (Setengah Lima Menuju Senja) yang bakal diadakan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 30 September ini.

Tidak hanya menampilkan Payung Teduh dan Sore, penyanyi popular seperti Noh Salleh, Ernie Zakri dan Atilia Haron bakal menghangatkan konsert tersebut nanti.

Iklan
Iklan

Nabila selaku penganjur Neptunes Present berkata, Noh akan membuat persembahan secara duet sebanyak dua lagu bersama kumpulan Sore.

"Mereka akan berduet lagu Musim Ujan dari album Sorealist dan satu lagi lagu masih dirahsiakan. Ia juga kejutan buat peminat yang akan datang menyaksikan konsert ini.

Iklan

"Noh dipilih oleh kumpulan Sore kerana mereka ada pertalian dan sering berkongsi mengenai muzik sejak dulu.

"Muzik dimainkan oleh Noh juga seakan-akan sama dengan muzik kumpulan Sore,” kata anak rockers terkenal, Datuk Amy Search itu.

Iklan
Konsert Senandung Malam - Payung Teduh X Sore (Setengah Lima Menuju Senja) yang bakal diadakan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 30 September ini.

Pemilihan Ernie pula menurut Nabila dibuat berdasarkan perbincangan Neptunes Presents dan pasukan Payung Teduh.

"Kami sepakat memilih Ernie sebagai artis undangan kerana karakter suara yang kena dengan tema dan lagu yang akan didendangkan pada malam konsert.

"Ernie juga akan mendendangkan dua lagu Payung Teduh secara duet yang tidak pernah dibawakan secara ‘live’ di Malaysia.

"Ia juga persembahan duet kali pertama Payung Teduh dengan artis tempatan,” ujarnya.

Sama seperti Noh, pemilihan Atilia sebagai artis jemputan turut diputuskan oleh kumpulan Sore sendiri.

"Atilia adalah artis tempatan pertama yang dipilih Sore dan dia juga bakal mendendangkan dua lagu pada malam konsert.

"Atilia juga merahsiakan lagu yang akan didendangkan kerana ia juga istimewa buat peminatnya dan Sore,” jelasnya yang berharap ia akan berjaya menghangatkan lagi Konsert Senandung Malam - Payung Teduh X Sore.

Sementara itu, berkongsi jualan tiket, kata Nabila, ia juga sudah terjual hampir 50 peratus sejak hari pertama dijual pada 25 Ogos lalu.

"Jualan tiket belum mencapai tahap maksimum mungkin kerana lambakan konsert yang agak banyak.

"Justeru, Neptunes Present berharap peminat Payung Teduh dan Sore akan datang menyaksikan persembahan mereka yang mantap.

"Sore dan Payung Teduh juga akan ditemani Agal Muzik Ensemble, pemuzik orkestra tempatan bagi mewarnai persembahan pada 30 September ini,” katanya.

Untuk rekod, Payung Teduh yang pernah menjayakan persembahan di Zepp Kuala Lumpur tahun lalu dianggotai Comi Aziz Kariko selaku pemain bass, Alejandro Saksakame (dram) dan Ivan Penwyn (gitar), manakala Pusakata atau nama sebenarnya, Mohammad Istiqamah Djamad adalah bekas vokalis Payung Teduh.

Payung Teduh dan Pusakata yang kini bergabung sebagai Parade Hujan.

Sore pula dianggotai Ade Firza Paloh selaku vokalis dan gitar, Awan Garnida (bass/vokal) dan Bemby Gusti Pramudya (dram).

Payung Teduh popular dengan lagu seperti Akad dan Menuju Senja, manakala Sore pula terkenal dengan lagu Pergi Tanpa Pesan, Setengah Lima dan Mata Berdebu.

Tiket konsert boleh didapati menerusi laman web myticketempire. Pembelian tiket secara ansuran juga ditawarkan melalui Atome.