KEJAYAAN Johor Darul Ta'zim (JDT) menjuarai Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut membuktikan pasukan itu sememangnya layak untuk memegang gelaran raja bola sepak di negara ini.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, statistik kejuaraan demi kejuaraan yang diraih oleh Harimau Selatan tidak dapat dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
"Statistik tidak menipu. Selamat datang ke zaman profesional," katanya dalam satu hantaran di laman Instagramnya yang turut memuat naik infografik kejuaraan Liga Super yang telah dimenangi JDT berbanding pasukan lain.
Skuad kendalian Esteban Solari itu meraih kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut selepas menewaskan PDRM FC, 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Rabu.
Mereka jauh meninggalkan pasukan lain dengan Selangor, Kelantan dan Kedah masing-masing memenangi dua kejuaraan selain Lions XII, Negeri Sembilan, Perlis dan Sri Pahang dengan satu kejuaraan sejak Liga Super diperkenalkan pada 2004.
Dalam pada itu, Tunku Ismail juga memberikan bayangan pasukan itu tidak akan berhenti dan terus tampil lebih kuat musim depan.
"Saya fikir tahun depan kami akan lebih kuat berbanding tahun ini," katanya.
Kemenangan ke atas PDRM itu bukan sahaja memastikan JDT meraih kejuaraan Liga Super untuk sedekad malah banyak rekod lain yang berjaya dicipta.
Harimau Selatan muncul pasukan yang berjaya menjaringkan 122 gol semua kejohanan dalam satu musim selain rekod meledak 86 gol - rekod jaringan paling banyak dalam saingan liga untuk satu musim.
Selain itu, JDT juga pasukan yang paling lama tidak kalah saingan Liga Super dengan 56 perlawanan.