PUTRAJAYA - Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan semua ahli dan pemimpin parti itu agar tidak mengejar jawatan atau kuasa semata-mata demi kepentingan peribadi.
Sebaliknya, semua pihak diingatkan agar berpegang kepada perjuangan asal penubuhan parti itu demi agama, negara dan bangsa.
Katanya, Bersatu merupakan sebuah parti yang menyeru ahli-ahli berkorban tanpa mengharapkan balasan.
"Kita harus bersyukur kerana dengan keadaan kita (di Malaysia) walaupun ada macam-macam perkara yang tidak memuaskan hati kita.
"Parti politik yang memerintah biasanya dapat membuat apa sahaja yang dikehendaki tetapi parti kita ini sejak awal lagi menyusun langkah dan menentukan bahawa parti kita bukanlah untuk memperkayakan diri.
"Apabila kita berkuasa kita tidak dapat gunakan kuasa yang ada sesuka hati," katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari.
Jelas Dr Mahathir lagi, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mahu mengulangi perbuatan sama seperti yang dilakukan sebelum ini.
"Dahulu kita lihat sebuah parti yang kita kalahkan apabila mereka dapat kuasa, maka mereka salah guna kuasa (yang diberikan rakyat) tanpa had.
"Saya tidak dapat jamin apa pun sama ada nikmat atau tidak tetapi saya percaya kalau kita (kerajaan) jadi parti yang bersih daripada perkara yang dilarang, rakyat pasti akan sokong kita," katanya.