FAMA Melaka edar hampir 9,000 kampit beras di 28 DUN

Iklan
Fama Melaka akan mengagihkan kira-kira 9,000 kampit beras tempatan untuk jualan di 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu, bermula esok. - Gambar hiasan

JASIN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Melaka akan mengagihkan kira-kira 9,000 kampit beras tempatan untuk jualan di 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu, bermula esok.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata penjualan beras tempatan 10 kilogram berkenaan akan diuruskan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) masing-masing.

Iklan
Iklan

"Beras itu akan dijual pada harga tidak melebihi RM26 sekampit dan satu keluarga hanya dibenarkan membeli sekampit sahaja.

"Selain itu, hanya warganegara tempatan sahaja akan dibenarkan membeli kerana ia merupakan keutamaan kita bagi memastikan rakyat Melaka dapat membeli beras tempatan dengan mudah," katanya.

Iklan

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Rahmah Mesra Madani Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil bersama Nelayan Melaka, yang turut dihadiri Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong.

Dr Muhamad Akmal berkata, jualan beras itu dijangka diadakan setiap minggu mengikut bekalan yang diperoleh daripada Kawalselia Padi dan Beras sehingga situasi berkenaan kembali pulih.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata, anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta pihak berkuasa tempatan akan bekerjasama memantau penjualan beras tempatan di pasar raya dan kedai runcit bagi memastikan bekalan tersebut sampai kepada rakyat.

"Kerajaan telah merangka dan melaksanakan polisi yang baik untuk rakyat negara ini termasuk dalam isu bekalan beras ini dan penguatkuasaan perlu dilakukan secara tegas dan terperinci terutama kepada pemborong atau pengilang beras yang dikesan mengambil kesempatan dalam situasi ini.

"Jika 100 tan metrik beras masuk ke Melaka, kita perlu pastikan jumlah ini sampai kepada rakyat," katanya.

Belanjawan 2024: LKIM laksana libat urus kenal pasti masalah, keperluan nelayan

Sementara itu, LKIM sedang melaksanakan libat urus bersama nelayan di seluruh negara bagi mengenal pasti masalah dan keperluan infrastruktur industri perikanan untuk permohonan Belanjawan 2024.

Muhammad Faiz berkata, setakat ini, beliau turun padang ke 23 lokasi komuniti nelayan bagi bertemu golongan berkenaan agar penambahbaikan dapat dilaksanakan demi keselesaan dan keselamatan nelayan menerusi peruntukan yang dimohon.

"Kita mengenal pasti beberapa masalah dihadapi golongan nelayan ini, antaranya kemudahan jeti dan keperluan peralatan menangkap ikan seperti di bawah program 'touch point' hari ini, serta peningkatan sosio ekonomi mereka menerusi beberapa pelaksanaan program yang dirangka.

"Keperluan atau kemudahan berkenaan penting bukan sahaja untuk memastikan nelayan terus aktif ke laut, malah membantu kerajaan memastikan bekalan makanan negara mencukupi khususnya hasil perikanan," katanya.

Muhammad Faiz berkata, LKIM setakat ini meluluskan RM14.6 juta bagi menaik taraf infrastruktur perikanan seperti Kompleks LKIM dan jeti nelayan di seluruh negara.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM10.6 juta bagi menaik taraf atau meningkatkan kemudahan di Kompleks LKIM, menaik taraf dan meningkatkan kemudahan jeti nelayan (RM2 juta) dan pembinaan jeti (RM2 juta).

Dalam perkembangan lain, katanya golongan nelayan khususnya menerusi persatuan masing-masing disaran menjalankan aktiviti akuakultur secara aktif sebagai alternatif meningkatkan ekonomi mereka.

"Sebagai contoh, kolam ternakan udang di Kampung Sebatu di Jasin oleh Persatuan Nelayan Melaka. Aktiviti itu memberi pulangan ekonomi yang baik kepada nelayan dan kerajaan turut menyediakan peruntukan tertentu bagi membantu mereka mengusahakan aktiviti berkenaan," katanya.

Katanya, LKIM juga menyalurkan peruntukan kira-kira RM2 juta meliputi bantuan peralatan menangkap ikan kepada 1,200 nelayan di 23 lokasi di seluruh negara setakat ini.

Terdahulu, pada majlis berkenaan beliau menyampaikan bantuan peralatan menangkap ikan berupa 50 kotak ikan berinsulasi (tong fiber) dan 20 jaring kepada 70 nelayan melibatkan peruntukan RM50,000.

Enam nelayan turut menerima empat enjin bot, jaring udang serta sampan fiber melibatkan peruntukan RM90,000 serta bantuan membaik pulih panggar kupang yang rosak akibat ribut di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) berjumlah RM117,700 melibatkan tiga nelayan dan peruntukan RM48,800 kepada Persatuan Nelayan Melaka di bawah Program Peningkatan Keupayaan Akuakultur Komuniti Nelayan. - Bernama