SHAH ALAM - Rakyat akan memperoleh kemenangan muktamad jika pelaksanaan caj transaksi DuitNow QR ke atas peniaga dibatalkan.
Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata, Bank Negara akan menentukan perkara tersebut diteruskan atau tidak memandangkan ia adalah pemegang saham terbesar dalam syarikat PayNet yang merupakan pemilik dan pengendali DuitNow QR.
"Bank CIMB memaklumkan akan menangguhkan caj transaksi untuk dua bulan manakala Public Bank dan Maybank pula bakal umumkan penundaan ke satu tarikh lain kemudian.
"Syabas netizen! Kita beroleh kemenangan! Kita tunggu dan lihat sekiranya bank lain akan tangguh juga," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Pada 26 September lalu, sebuah institusi perbankan tempatan memaklumkan pelanggannya mengenai yuran transaksi untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit berkuat kuasa 1 November depan.
Menerusi tinjauan Sinar Harian, peniaga kecil tidak bersetuju dengan caj transaksi tersebut yang didakwa membebankan memandangkan keuntungan daripada perniagaan tidak besar.
Sementara itu, tinjauan di ruangan komen mendapati, pengguna media sosial berterima kasih kepada Ka Siong kerana bersama-sama menyuarakan kebimbangan rakyat Malaysia berkenaan isu caj transaksi itu.
"Terbaik netizen. Terima kasih banyak bersuara mewakili rakyat marhaen,” ujar Mohd Zaki Hassan.
"Ada baiknya dihapuskan dan dimansuhkan terus, jangan adakan caj ini. Teruslah berjuang demi rakyat jelata yang sedang dihimpit kesusahan,” ulas Rhafie Ahmad.