Mangsa banjir Kampung Iboi trauma, rasa tidak selamat lagi

Iklan
Keadaan rumah Tilka. Barangan serta perabot dari rumah sewa yang dibawa pulang ke Kampung Iboi tiga hari sebelum banjir, turut terjejas. Gambar kecil: Tilka

BALING - Kejadian banjir yang kerap berlaku di Kampung Iboi serta jajaran Sungai Kupang meninggalkan trauma kepada penduduknya selepas rumah mereka dikatakan tidak lagi selamat untuk diduduki.

Ibu tunggal, Mariam Abdul Isa, 71, berkata, dia tidak mempunyai pilihan selagi belum diarahkan berpindah ke rumah baharu yang lebih selamat.

Mariam

Iklan
Iklan

Menurutnya, setelah beberapa kali dinaiki air, penduduk masih tetap tinggal di rumah mereka memandangkan tiada tempat lain yang boleh dituju.

"Hakisan sungai terlalu teruk sehingga paras air sungai cetek dan hampir menyamai rumah, saya dan anak-anak memang rasa trauma.

Iklan

"Habis peti ais dan mesin basuh rosak, air masuk ke rumah hampir satu meter. Saya tak tahu nak gambarkan perasaan macam mana, sudah dua kali rumah dimasuki air, memang kami tidak selamat lagi untuk tinggal di sini," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Iboi pada Jumaat.

Seorang lagi mangsa, Che Mah Wahab, 75, berkata, dia juga tidak mampu berpindah ke tempat lain kerana kesempitan hidup.

Che Mah

Iklan

Menurut warga emas itu, biarpun rumahnya dua tingkat, namun banyak bahagian rumah sudah uzur dan perlu dibaiki segera.

"Saya sudah disenaraikan oleh kerajaan sebagai penerima rumah baharu bagi fasa kedua di Kampung Bok Bak bagi penempatan semula mangsa banjir, namun sehingga sekarang kami tidak tahu bila rumah itu akan dibina dan siap.

Keadaan mangsa banjir Iboi yang kini ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Iboi.

"Semoga kerajaan akan percepatkan pembinaan rumah untuk kami. Saya dan keluarga sudah tidak selamat tinggal di situ, jarak rumah dan sungai hanya kira-kira dua meter.

"Apabila hujan saja, saya dan ahli keluarga akan rasa takut dan trauma. Jika hujan lebat berterusan selepas ini, tidak mustahil rumah saya akan dinaiki air lagi selepas ini," katanya

Seorang lagi mangsa, Tilka Mat Udin, 49, berkata, dia baru sahaja membawa perabot dari rumah sewa di Lumut, Perak ke Kampung Iboi pada Ahad, tiga hari sebelum kejadian banjir.

"Waktu Maghrib lebih kurang 7.20 petang, saya hendak ambil wuduk, air tidak naik lagi. Selepas solat saya rehat sekejap, waktu itu bekalan elektrik tiba-tiba terputus, jiran sebelah rumah telefon mengatakan di luar rumah sudah banjir.

Keadaan Sungai Kupang di Kampung Iboi yang terjejas teruk serta tebingnya semakin terhakis menyebabkan rumah penduduk dinaiki air.

"Saya jadi buntu sebab kejadian banjir ini tidak pernah berlaku kerana rumah saya berada di tempat tinggi, namun kejadian kali ini meninggalkan kesan," katanya.

Dia menjelaskan, terpaksa berpayung di tepi jalan bersama anak remajanya kira-kira setengah jam untuk ke rumah jiran sebelum menunggu bantuan tiba dan dibawa ke PPS.

Sementara itu, Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Husain berkata, banjir kali ini meskipun tidak seteruk tahun lalu, tetap memberikan kesan yang amat mendalam kepada mangsa.

Nor Mohamad

"Kali ini turut terkena rumah mangsa yang berada di kedudukan agak tinggi dan jauh dari sungai akibat daripada turunnya air yang berada di saliran-saliran air yang kecil di tepi bukit dan kawasan tinggi.

"Kita tidak menjangkakan perkara ini berlaku, tetapi kali ini, ia berlaku sehingga menyebabkan rumah penduduk di kawasan tinggi pun terjejas banjir," katanya.